Friday, 25 April 2014

Cemas: Lebih 11 jam padam kebakaran


Laluan masuk ke Kompleks Lapang Sasar Tok Jembal diselubungi asap tebal



KUALA NERUS – Tujuh keluarga di kawasan perumahan Jalan Damai, Kampung Gong Kuin, di sini, berdepan detik mencemaskan apabila kebakaran berada pada jarak kira-kira 10 meter dengan kediaman mereka.

Kebakaran tanah gambut seluas lima hektar yang dipercayai bermula di kawasan berhampiran Kompleks Lapang Sasar Tok Jembal itu, merebak pantas ke kawasan kediaman berkenaan yang bersebelahan lokasi kejadian.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota serta Pasukan Bomba Sukarela dari Balai Bomba Sri Nerus, berjaya mengawal kebakaran lebih 11 jam kemudian.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sri Nerus, Mohd Ariff Tengah memberitahu, operasi dimulakan kira-kira jam 1.45 petang, kelmarin dan ditangguhkan kira-kira jam 1 pagi semalam.

“Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, pasukan kami bergegas ke lokasi dan pada awalnya kebakaran hanya berlaku di kawasan berhampiran lapang sasar (Tok Jembal), namun merebak pantas dengan percikan api ke kawasan bersebelahan. “Keadaan angin yang agak kencang dan asap tebal menyukarkan lagi usaha kami memadam kebakaran ketika itu, ditambah pula dengan keadaan tanah gambut terbakar dari bawah tanah.

“Menyedari akan api yang semakin marak, kami mengambil langkah alternatif dengan menyekat api di kawasan bersebelahan bagi mengelak ia menghampiri kawasan kediaman penduduk,” katanya.

Menurutnya, kesemua anggota terlibat mengerah sepenuhnya tenaga untuk menghalang kawasan kediaman penduduk, di mana pada ketika itu jarak antara rumah dan kebakaran hanya kira-kira 10 meter.

“Namun, beberapa percikan api kebakaran yang dibawa angin terkena pada bumbung rumah penduduk.

“Tetapi kami yang segera menyedari perkara itu berjaya memadamnya,” katanya.

Mohd Ariff berkata, bagi mengelak gangguan dan ancaman terutamanya kanak-kanak, penduduk diarah keluar ke kawasan lain bagi mengelak dijangkiti sebarang penyakit berikutan asap tebal.

“Bagaimanapun, selepas lebih 10 jam bertarung melawan kebakaran, akhirnya api berjaya dikawal dengan kekuatan 24 anggota,” katanya.

Mohd Ariff turut mengingatkan semua pihak mengelak sebarang aktiviti pembakaran kerana cuaca kering dan panas bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Saya harap masyarakat tidak lagi mengambil mudah dengan aktiviti pembakaran secara terbuka, meskipun hanya sekadar untuk membakar sampah di sekitar rumah.

“Ini kerana, dalam keadaan cuaca kering dan berangin ini memudahkan api merebak.

"Justeru, langkah terbaik adalah dengan membuang sampah di dalam tong disediakan bagi membolehkan sampah tersebut dibuang di tapak pelupusan sampah yang khusus," katanya. -- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment