Laluan tikus memudahkan penunggang motosikal membuat lintasan singkat tetapi boleh mengundang bahaya kepada mereka.
POKOK SENA - Pembinaan lebuh raya sepanjang Pokok Sena hingga Padang Sanai sememangnya memberi kemudahan kepada penduduk sekitar di kawasan itu melunaskan aktiviti harian mereka.
Malangnya sejak akhir-akhir ini, lebuh raya itu menjadi laluan maut kepada penduduk didakwa akibat tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuka laluan tikus.
Penduduk, Bakar Ahmad, 62, dari Kampung Baru, Jalan Kuala Nerang berkata, tindakan pihak itu mengundang bahaya terutamanya kepada pengguna lebuh raya yang lain.
Menurutnya, tindakan golongan itu membuka laluan kecil dengan memecah tembok di beberapa pembahagi jalan boleh mengundang bahaya apabila mereka mengambil laluan singkat untuk melintas.
“Saya yakin aktiviti membuka jalan tikus ini dilakukan pada waktu malam bagi memudahkan mereka membawa kenderaan untuk melintas.
"Kebanyakan jalan tikus ini dibuka di kawasan penempatan dan kilang supaya mereka tidak perlu lagi membuat pusingan yang agak jauh,” katanya.
Menurut Bakar, tindakan itu sangat membahayakan kerana apabila mereka gagal mengawal kenderaan mereka terus terlajak ke hadapan dan ini menyebabkan berlakunya kemalangan.
Bagi Hamdan Hamidon, 52, dari Kampung Padang pula, tindakan pihak penguatkuasa menutup laluan motosikal yang melalui pembahagi jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Jabi adalah baik kerana sebelum itu telah berlaku beberapa kemalangan hingga membawa maut.
Katanya, pihak berkuasa perlu mengatasi masalah itu dengan selalu membuat rondaan serta membaiki kembali laluan tikus berkenaan supaya ia tidak dapat digunakan lagi.
"Laluan tikus itu perlu ditutup kerana pernah beberapa kali saya hampir mengalami kemalangan dengan seorang penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaannya sehingga terlajak ke hadapan serta hampir berlaku kemalangan,” katanya.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment