Mayat mangsa di lokasi kejadian.
SENAWANG – Seorang pelanggan tidak sempat memesan makanan dan minumannya apabila menemui ajal di sebuah restoran di Taman Tuanku Jaafar berhampiran kawasan perindustrian Senawang Sentral dekat sini, petang kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang, apabila mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 50-an itu, singgah di restoran berkenaan sendirian untuk makan dan minum tetapi tidak lama kemudiannya secara tiba-tiba pengsan lalu terjatuh dari kerusi yang diduduki.
Seorang saksi, Nurul Izzaty Lilliany Azman, 26, berkata, sebelum kejadian berlaku, dia sedang menjamu selera di restoran milik keluarganya itu.
“Saya ketika itu berada di dalam restoran dan sedang makan dengan memandang ke arah luar. Saya menyedari kehadiran mangsa dan dia duduk sendirian di meja yang diletakkan di luar restoran.
“Ketika mangsa duduk di mejanya, pekerja terus menanyakan pesanan makanan tetapi mangsa berkata, tunggu sekejap kepada pekerja restoran sebelum dia ingin memesan makanan dan minuman.
“Tetapi tidak sampai lima minit, tiba-tiba mangsa pengsan lalu terjatuh dari kerusinya ke arah belakang. Badan mangsa turut mengerang seakan dalam keadaan kejang dengan kedua-dua tangan di atas,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, terkejut dengan situasi yang menimpa mangsa, semua pelanggan yang berhampiran cuba menyelamatkan mangsa bagaimanapun, mangsa sudah menemui ajal di situ.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment