Tuesday 8 April 2014

Selepas sebulan, apa yang telah kita pelajari?

KUALA LUMPUR: Sudah lebih 30 hari sejak kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 pada 8 Mac yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, menjadikan seluruh dunia bingung dan hairan bagaimana Boeing 777-200 sepanjang 63.7 meter itu langsung tidak dapat dikesan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipertingkat hari demi hari sebelum isyarat kotak hitam pesawat itu lenyap.

Penemuan terbaru menerusi operasi SAR yang dijalankan pihak ketenteraan daripada lebih 20 buah negara telah mengesan isyarat getaran di selatan Lautan Hindi dimana ianya konsisten dengan isyarat kotak hitam.

Tetapi adakah ini ada kaitan dengan pesawat malang itu? Sebulan berlalu dan kita telah disajikan dengan pelbagai teori konspirasi, kita lihat sendiri bagaimana pihak media menggambarkan misteri insiden ini, dan kita juga ingin tahu mengenai anggaran kos pihak pertahanan yang terlibat dalam misi ini.

“Orang ramai teruja dengan teori konspirasi”

Hingga hari ini, selain daripada fakta pesawat tersebut berlepas dari Kuala Lumpur dan tidak pernah tiba di Beijing, tiada apa-apa bukti nyata yang boleh mengatakan pesawat itu terhempas di Lautan Hindi. Termasuklah apa yang terjadi selepas itu, dan mengapa, terus menjadi misteri.

Kononnya ia telah ditembak oleh negara China, ia ditahan di lapangan terbang Diego Garcia, ia terbakar dan terhempas di lautan – ini semua hanyalah antara teori yang timbul yang terus bermain di minda orang berfikiran kritikal.

Kehilangan MH370 bukanlah insiden pertama pesawat terhempas yang diselubungi teori konspirasi. Pada 1996, pesawat Trans World Airlines (TWA) terhempas di pantai East Moriches, Long Island, Amerika Syarikat semasa dalam perjalanan menuju ke Perancis dimana 200 orang terkorban.

Selepas siasatan dijalankan selama empat tahun, keputusan rasmi mendapati faktor kejadian pesawat terhempas itu adalah kerana letupan yang disebabkan oleh wayar rosak.

Namun, pada 2013 sebuah dokumentari membahaskan bahawa pesawat tersebut telah ditembak dan perkara ‘sebenar’ kepada insiden ini dirahsiakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan oleh industri penerbangan, dimana mereka mungkin bakal berdepan dengan kerugian besar.

Pesawat 870 Aeroline Itavia, sebuah penerbangan domestik di Itali yang menuju ke Palermo dari Bologna terhempas di Lautan Tyrrhenian menyebabkan seluruh penumpang dan anak kapal terkorban pada 1980, turut menyaksikan pelbagai teori konspirasi timbul disebabkan insiden ini.

Laporan rasmi menyatakan pesawat itu telah ditembak peluru berpandu yang dilancarkan oleh pesawat Tentera Laut Perancis, tetapi antara teori yang timbul adalah: serangan pengganas, kesilapan ketika latihan pakatan ketenteraan NATO serta pesawat ditembak peluru berpandu sebagai tindakan balas kepada pihak tentera Libya.

Menariknya, beberapa bulan selepas kejadian itu, tujuh pegawai penerbangan Itali yang terlibat dalam siasatan dilaporkan mati dalam pelbagai situasi mencurigakan seperti kemalangan jalan raya, pembunuhan serta bunuh diri.

Ramai masih mencari jawapan kepada soalan yang tiada jawapannya.

Selain itu, sebuah artikel ditulis oleh The Hindu membuat perbandingan dengan filem Rashomon arahan Akira Kurosawa pada 1950 – sebuah filem yang menceritakan kes rogol dan bunuh ditafsirkan dalam situasi berbeza menerusi tiga pemerhati – terhadap misteri kehilangan MH370.

Artikel tersebut mengulas kesan Rashomon sebagai ‘serangan terhadap teori yang mustahil yang menyebabkan orang ramai merasa lali dengan teori tersebut menjadikan mereka berhenti untuk mencari informasi baru, sama ada ia boleh dipercayai atau tidak.”

Sejak 30 hari lalu, rata-rata orang ramai menolak laporan media sebagai tidak benar dan menjurus kepada soalan – apa kebenarannya?

"Di bawah pengamatan kaca mata media"

Sejak kehilangan pesawat itu, kita terus melekat di kaca televisyen untuk mendapatkan laporan terkini tentang pesawat malang ini.

Media antarabangsa seperti Cable News Network (CNN) sejak hari pertama telah menyediakan laporan menyeluruh, memberi maklumat kepada seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, kebanyakkan laporan mereka dikatakan tidak benar dan tidak beretika, dimana ada segelintir pihak NGO dan orang ramai membuat bantahan terhadap laporan agensi media itu.

Terdapat insiden dimana laporan CNN mengatakan Kuala Lumpur terletak di Indonesia.

Bukan itu sahaja, pengacara CNN, Don Lemon bertanya kepada tetamu jemputan rancangannya adakah ia ‘tidak munasabah’ untuk mengatakan MH370 telah terjatuh ke dalam fenomena "Black Hole" iaitu antara beberapa kemungkinan yang tidak dapat diterima akal.


















The Daily Show with Jon Stewart mempersendakan penyampaian CNN mengenai MH370


The Daily Mail, sebuah tabloid British melaporkan bahawa menurut ahli keluarga Kapten Zaharie Ahmad, fikiran beliau ‘terganggu’ dan beliau merupakan penyokong fanatik kepada ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mata dunia kini tertumpu kepada siasatan kehilangan MH370 dan ini menyebabkan semua media berlumba-lumba untuk menyampaikan maklumat dalam mengekalkan minat pembaca serta penonton mereka.

Sementara itu, kajian oleh Pusat Penyelidikan Pew mendapati majoriti responden berkata laporan kehilangan pesawat ini oleh media berita adalah mencukupi.

“SAR termahal”

Operasi SAR bagi MH370 merupakan antara termahal dalam sejarah penerbangan, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Fairfax Media.

Coretan kos yang didedahkan hanya memberi gambaran kecil mengenai kos sebenar yang melibatkan 26 negara ini termasuk aset pertahanan mereka dalam misi mencari.

Misi pencarian pesawat Air France 447 yang mengambil masa selama dua tahun menelan belanja AS$50 juta (RM163 juta).

Pencarian pesawat MAS ini pula melibatkan kos penyelenggaraan kapal, satelit, pesawat serta kapal selam yang terlibat bermula di Laut Cina Selatan dan Selat Melaka pada awalnya dan kemudian ke kawasan paling sunyi di dunia iaitu selatan Lautan Hindi, telah melangkaui kos perbelanjaan mencari Air France 447.

HMAS Success, kapal tentera laut milik Australia menelan belanja sebanyak RM1.67 juta sehari untuk beroperasi, menurut jurucakap pertahanan.

HMAS Toowoomba yang turut serta dalam misi pencarian kira-kira seminggu lalu pula menelan belanja RM1.16 juta sehari untuk kos minyak, bekalan dan gaji anak kapal.

Itu sahaja telah menelan belanja RM30.4 juta di Lautan Hindi.

AS memperuntukkan AS$3.6 juta (RM11.8 juta) untuk menghantar alat pengesan ping serta dron dalam air yang akan mencari perakam kotak hitam pesawat tersebut.

Jabatan Petahanan Amerika Syarikat, Pentagon pada minggu lalu berkata kerajaan AS telah membelanjakan sebanyak AS$ 3.3 juta (RM10.8 juta) untuk operasi mereka dalam mencari MH370.

Vietnam pula dilaporkan telah berbelanja lebih AS$8 juta (RM26.1 juta) untuk mencari pesawat malang itu di Laut Cina Selatan.

Pakar penyiasat kemalangan udara dari Universiti Central Queensland, Geoff Dell, kos penerbangan sehari selama 10 jam boleh menelan belanja sebanyak AS$1 juta (RM3.2 juta).

Jika dikira anggaran kos kasar untuk misi pencarian ini, setakat ini sahaja ia telah menelan belanja sebanyak AS$53 juta (RM173.2 juta)

Namun, ini hanyalah sebahagian kecil perbelanjaan yang membabitkan 26 negara.

Jika ditambah dengan kos analisis risikan, polis serta penyiasat kemalangan dari Britain, AS, Perancis, Malaysia dan lain-lain, kos keseluruhan pastinya akan berganda daripada kos yang disebut di atas.


“Kesimpulan”

Sudah sebulan misi SAR termahal yang pernah disaksikan generasi kita ini berjalan, selain tiada bukti kukuh untuk mengatakan punca sebenar pesawat itu hilang, ramai di seluruh dunia menjadi skeptikal sama ada kita akan mendapat jawapan terhadap misteri kehilangan MH370 atau tidak. Hanya masa yang dapat menentukan segalanya.

Apa yang dapat kita pelajari daripada tragedi MH370 ini?


Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment