Tuesday 8 April 2014

Malaysia harap denyut yang dikesan bawa perkembangan positif


KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap isyarat yang dikesan di selatan Lautan Hindi akan membawa perkembangan positif dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.

Sambil menaruh keyakinan pasukan penyiasat akan menemui bukti kukuh mengenai apa yang berlaku terhadap pesawat itu, Hishammuddin pada masa sama menggesa semua pihak agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk membuat pengesahan berhubung isyarat tersebut.

"Sejajar dengan pendirian Malaysia sejak hari pertama pencarian agar semua penemuan disahkan, saya menggesa semua pihak yang berkenaan memberi masa kepada pihak berkuasa menyiasat lanjut untuk tujuan pengesahan.

"Malaysia juga bersetuju dengan Perdana Menteri Australia Tony Abbott agar semua pihak tidak tergesa-gesa berhubung penemuan yang tidak sahih dan membuat kesimpulan," katanya dalam sidang media perkembangan terkini tragedi MH370, di sini hari ini.

Pagi ini, Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata kapal Australia Ocean Shield mengesan isyarat sebanyak dua kali pada malam Ahad.

Menurut JACC yang berpangkalan di Perth, dua isyarat itu dikesan di 1,650 km barat laut Perth, iaitu di utara dalam kawasan pencarian. Isyarat pertama dikesan selama dua jam 20 minit manakala isyarat kedua selama 13 minit.

Bernama

No comments:

Post a Comment