Laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 23 Mac lalu.
ALOR SETAR - Kes seorang wanita yang dilaporkan hilang di sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil tiga hari sebelum majlis akad nikah dianggap selesai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, wanita itu sendiri sudah membuat laporan polis di Ipoh, Perak akhir bulan lalu.
Beliau berkata, laporan polis itu menyebut bahawa wanita berkenaan mengakui tidak diculik sebaliknya mengikut teman lelakinya ke tempat lain.
“Dia buat laporan polis mengatakan bersetuju untuk ikut teman itu ke satu tempat dan sudahpun berkahwin dengan teman lelakinya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, laporan polis itu dibuat supaya pasangan berkenaan tidak lagi diganggu oleh mana-mana pihak.
“Berdasarkan laporan dan keterangan wanita itu, kes dianggap selesai dan kertas siasatan berhubung orang hilang ditutup,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita dalam lingkungan usia-20 didakwa diculik di depan sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil tiga hari sebelum majlis akad nikah.
Menurut laporan itu, wanita berkenaan dikatakan diculik oleh beberapa lelaki dengan menggunakan dua kereta.
Siasatan polis mendapati wanita itu mempunyai teman lelaki lain sebelum bertunang dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 21 Mac lalu sebelum dilaporkan hilang.
Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang yang berpunca daripada masalah dalaman keluarganya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment