SEREMBAN - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap 75 pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan RM208,900 dengan menjanjikan mangsa akan dilantik sebagai calon Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri ini.
Tertuduh, Ibrahim Saidun, 60, didakwa memperdaya Rusman Sulaiman, 51, bahawa tertuduh yang bekerja sebagai Ketua Pengarah Unit Strategik di Jabatan Perdana
Menteri dapat membantunya menjadi calon Adun dan mendorong mangsa menyerahkan wang beberapa kali sejak 2011 hingga 2012.
Ibrahim didakwa memperdaya mangsa untuk mengeluarkan sejumlah wang untuk perbelanjaannya seperti membayar penginapan hotel dan tiket penerbangan Ibrahim ke beberapa lokasi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama
No comments:
Post a Comment