Tuesday 8 April 2014

Mana pergi peniaga tempatan: Hampir separuh lot perniagaan diusaha warga asing

melaka sentral

AYER KEROH - Tiga belas daripada 31 lot perniagaan di Melaka Sentral didapati diusahakan warga asing dengan melibatkan empat buah syarikat.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, semakan mendapati permohonan penyewaan lot perniagaan ini telah dibuat atas nama syarikat di mana pegangan saham dimiliki warga tempatan yang majoritinya pasangan kepada warga asing berkenaan.

Laporan berkenaan turut menyatakan pengesahan Jabatan Imigresen Melaka bertarikh 20 November 2013 mendapati empat daripada enam pemegang saham dalam empat syarikat berkenaan merupakan pemegang pas lawatan sosial serta pas pengajian yang telah tamat tempoh.

“Bagaimanapun, menurut maklum balas Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) bertarikh 3 Oktober 2013, tawaran lot kedai untuk disewa adalah berdasarkan status warganegara pasangan dan penyewa mempunyai pengalaman perniagaan serta status kewangan yang kukuh,” kata laporan berkenaan.

Selain itu, audit yang dijalankan turut mendapati adanya penyewa lot kedai yang menyewakan semula lot berkenaan kepada pihak ketiga.

Menurut laporan berkenaan, semakan yang dijalankan mendapati empat lot merupakan sublet dan semakan selanjutnya mendapati salah satu daripada empat lot berkenaan dimiliki salah seorang Ahli Lembaga Pengarah MSSB.

Laporan berkenaan menambah, antara sebab berlakunya sublet adalah penyewa asal tidak mampu meneruskan perniagaan serta kurang pemantauan dari pihak MSSB.

“Susulan ini, MSSB telah memberi maklum balas bahawa ia mengambil tindakan menamatkan sewaan, mengosongkan serta membaik pulih lot kedai terbabit kerana MSSB tidak akan berkompromi dengan peniaga yang didapati menyewa semula lot kedai kepada pihak lain.

“Audit mengesyorkan supaya MSSB menyemak semula dan mengemas kini standard operating procedure penyewaan bagi menangani isu lambakan peniaga warga asing serta sublet,” katanya.

Laporan Ketua Audit turut mendedahkan terdapatnya dua lot kedai yang tidak ditawarkan mengikut standard operating procedure sebaliknya ditawarkan kepada penyewa baharu tanpa proses temu duga.
Menurut laporan berkenaan, penyewa baru ini dipilih berdasarkan cadangan penyewa terdahulu.

Dalam maklum balasnya, MSSB menyatakan tawaran ini dibuat atas dasar penyewa terbabit adalah pembekal utama dan pertimbangan budi bicara kerana hubungan saudara antara penyewa lama dan baharu.

“Pada pendapat Audit, peluang perniagaan kepada penduduk Melaka adalah baik. MSSB perlu lebih berhati-hati dan serius supaya lot-lot perniagaan tidak jatuh ke tangan warga asing atau disublet agar objektif penubuhan MSSB dalam meningkatkan taraf ekonomi golongan bumiputera tercapai,” kata laporan berkenaan.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment