Tuesday 8 April 2014

Parah dibelasah kayu dan parang oleh 50 lelaki

Parah: Dibelasah 50 lelaki
Kereta mangsa di lokasi kejadian.


PORT DICKSON – Seorang lelaki berusia 47 tahun cedera parah selepas dibelasah menggunakan kayu dan parang oleh kira-kira 50 lelaki dalam satu pergaduhan, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 7.50 malam di Taman Perindustrian Lukut.

Menurutnya, mangsa, G Murugam, 37, yang cedera parah kemudiannya dikejarkan ke Hospital Port Dickson.

"Mangsa menerima beberapa jahitan di badannya iaitu 10 jahit di atas kening kanan, dua jahitan di hidung, 12 jahitan di kepala, manakala tangan kanan menerima satu jahitan.

“Mangsa yang kini dalam keadaan stabil memberitahu bahawa dia diserang oleh sekumpulan lelaki sekitar 50 orang dengan menggunakan parang," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abd Wahab berkata, pihaknya akan terus melakukan siasatan dan setakat ini, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata maut dalam rusuhan.

"Siasatan polis di lokasi kejadian pula mendapati, kejadian berlaku berhadapan dengan sebuah kedai snuker di Taman Perindustrian Lukut.

“Di lokasi kejadian polis juga menemui sebuah kereta jenis Honda Accord milik mangsa dalam keadaan semua cermin retak dan pecah,” katanya.

Seorang lelaki yang kebetulan berada berhampiran dengan lokasi kejadian dan hanya mahu dikenali sebagai Ragu, 40-an, berkata, dia melihat kereta mangsa dipandu dari arah Port Dickson dan masuk ke kawasan Taman Perindustrian Lukut.

“Kereta mangsa dikepung dan mangsa keluar dari keretanya untuk berunding dengan sekumpulan lelaki sebelum dia dibelasah secara beramai-ramai dengan parang dan kayu.

“Saya dan beberapa orang yang kebetulan berada di sini dan menyaksikan kejadian, tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka terlalu ramai dan khuatir ia akan membahayakan diri kami juga," katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment