Susilo Bambang Yudhoyono
JAKARTA - INDONESIA . Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang juga Ketua Umum Parti Demokrat, berkata parti itu sedia menjadi pembangkang dalam Parlimen Indonesia jika gagal membentuk pakatan dengan parti yang mempunyai platform sama seperti mereka.
"Seandainya tidak bersesuaian bagi (menamakan) calon presiden atau parti lain tidak boleh berkongsi platform dengan kita...itu pilihan kita (menjadi pembangkang).
"Adalah lebih baik kita berada di luar (sebagai pembangkang), bebas dan pada masa sama berjuang untuk negara," katanya ketika menutup Konvensyen Calon Presiden Parti Demokrat di sini, Ahad.
Susilo menjelaskan parti itu tidak akan meneruskan pakatan dengan parti lain semata-mata untuk mendapatkan tiket menamakan calon presiden pada Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden, 9 Julai depan.
Beliau berkata, membentuk gabungan bukan sahaja perlu kepada "bagaimana menambah peratusan (untuk memenuhi syarat menamakan calon presiden)", sebaliknya perlu ada "niat baik dan semangat berjuang bersama-sama" untuk negara.
Susilo berkata, semua kemungkinan itu adalah terbuka dan menegaskan bahawa "Parti Demokrat tidak oportunis".
Baru-baru ini, Susilo mengadakan pertemuan dengan pemimpin Parti Demokrat, yang antara lain mereka menggesa beliau menggugurkan cadangan membentuk apa yang dikenali sebagai 'central axis' sebagai satu strategi menamakan sendiri calon presiden dari parti berkenaan.
Ada pemimpin berpendapat agar Susilo 'memberi restu' agar Parti Demokrat bertindak sebagai pembangkang pada penggal pemerintahan akan datang.
Malah, ada yang mencadangkan agar Parti Demokrat menyertai pakatan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan menyokong calon presiden PDI-P, Joko Widodo atau Jokowi.
Bagaimanapun, hubungan Susilo dan Ketua Umum PDI-P, Megawati Soekarnoputri 'tidak mesra' sejak 2004.
Pada tahun berkenaan, Susilo yang menjadi Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, mengundur diri daripada Kabinet yang dipimpin Megawati kerana berhasrat bertanding dalam Pemilu Presiden 2004.
Dalam pada itu, perdebatan akhir 11 peserta Konvensyen Parti Demokrat itu, gagal menarik perhatian dengan calon yang berpotensi hanya berikrar sokongan mereka terhadap program pendidikan, pembasmian kemiskinan dan rasuah serta ekonomi yang telah pun dilaksanakan di bawah pentadbiran Susilo.
Parti Demokrat dijangka mengumumkan pemenang konvensyen itu sebagai calon presiden parti berkenaan pada 15 Mei, selepas Majlis Tertinggi parti itu menerima hasil dari pungutan pendapat umum terhadap kredibiliti 11 peserta itu.
"Menurut perlembagaan parti, Majlis Tertinggi adalah institusi yang mempunyai kuasa menamakan seorang calon presiden," kata Susilo. - Bernama
No comments:
Post a Comment