Monday 28 April 2014

Kapal asing disyaki jalan kegiatan perikanan haram

KOTA TINGGI – Dua buah kapal asing yang ditahan pada Jumaat dan malam tadi kerana berlabuh di tempat yang tidak dibenarkan di perairan Pengerang disyaki melakukan kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU).

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Tanjung Sedili yang membuat penahanan tersebut mendapati kapal terbabit yang membawa 63 anak kapal masing-masing membawa antara 100 hingga 150 tan hasil tangkapan laut.

Kapal FV Ming 5 (FV Thunder) telah ditahan pada jam 10.30 pagi Jumaat lalu ketika bersauh di kedudukan lebih kurang 3 batu nautika Tenggara Teluk Ramunia manakala kapal FV Tai San (FV Chang Bai) ditahan pada jam 8.30 malam tadi di kedudukan 2.3 batu nautika Tenggara Teluk Ramunia.

"Kapten kapal dan ketua jurutera telah ditahan dan dibawa ke Pejabat Maritim Wilayah Selatan Johor Baharu untuk siasatan lanjut," kata Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 49 1B(1)(I) dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu berlabuh tanpa kebenaran tanpa memaklumkan kepada Pengarah Laut dan gagal membayar dius api.

Menurut Amran, salah sebuah kapal tersebut disyaki telah memasuki Pelabuhan Pasir Gudang pada Jumaat lalu bagi melakukan aktiviti pemunggahan keluar ikan.

Oleh itu ia juga akan disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Perikanan 1985 kerana memunggah ikan di perairan perikanan Malaysia tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment