Keadaan enjin kereta mangsa yang hangus terbakar.
PARIT BUNTAR - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbakar secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Jalan Sekolah, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Loo Kiang Tiang, 30, menaiki kereta jenis Nissan Cefiro dalam perjalanan pulang ke Pekan Lama, di sini, dari Bagan Serai untuk memulangkan kenderaan milik majikannya di pejabat.
Menurutnya, dia yang memandu bersendirian terhidu bau hangit ketika dalam perjalanan pulang.
“Ketika memandu, saya lihat kepulan asap keluar dari pendingin hawa kereta dan berbau hangit.
“Pada mulanya saya tidak mengendahkannya, namun saya segera berhenti di bahu jalan setelah terlihat api marak di bawah bonet hadapan.
“Melihat keadaan itu, saya segera menyelamatkan diri berikutan bimbang kereta akan meletup dan segera menelefon bomba,” katanya.
Kiang Tiang berkata, dia cuba masuk semula ke dalam kereta untuk menyelamatkan dokumen syarikat, namun terpaksa melupakan hasrat itu sejurus kereta itu tiba-tiba meletup dan terbakar.
“Kejadian berlaku sekelip mata dan saya tergamam melihat kereta majikan terbakar.
"Kereta itu tidak pernah menghadapi sebarang masalah sejak dibeli lima tahun lalu dan saya bersyukur terselamat daripada kejadian tersebut," katanya.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu anggota bomba bertindak pantas memadamkan kebakaran.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment