KUANTAN - Murid perempuan tahun enam antara empat yang maut dalam nahas berasingan di tiga daerah di Pahang semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Superintenden Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian pertama berlaku di Kilometer 187.6 Lebuhraya Pantai Timur berhampiran Maran pada 9.15 malam.
Beliau berkata mangsa, Safea Ashikin Suhaimi, 12, berasal dari Kajang, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas kereta dipandu bapanya, 30-an, hilang kawalan.
"Kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh penghadang besi jalan menyebabkan kereta jenis Chevrolet itu berpusing sebelum dilanggar sebuah jip dari arah sama," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamed Fauzi juga berkata, dalam nahas kedua, dua buruh ladang terbunuh selepas motosikal yang mereka naiki dilanggar sebuah jip jenis Toyota di Kilometer 132 Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Rompin pada jam 8.30 malam.
Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Lok Ei yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dan pemboncengnya, Akmaluddin, kedua-duanya berusia 30-an dan merupakan warga Indonesia.
"Mangsa, yang tinggal di rumah kongsi dekat Keratong 5, Muadzam Shah itu mati di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati kedua-duanya tidak memiliki lesen memandu serta tidak memakai topi keledar," katanya.
Mohamed Fauzi juga berkata nahas dipercayai berlaku ketika mangsa, dari arah Seremban ke Keratong 5, dipercayai ingin membelok ke simpang kanan ketika dilanggar jip terbabit dari belakang.
Sementara itu, seorang penyelia ladang, Mohd Yusof Othman, 24, maut selepas motosikalnya melanggar seekor kerbau di Jalan Kota Bahagia-Melati berhampiran Rompin pada 12.30 tengah malam.
Mohamed Fauzi berkata kejadian berlaku apabila haiwan itu dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba dan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggarnya menyebabkan dia tercampak ke atas jalan.
Beliau berkata Mohd Yusof meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah dan kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
No comments:
Post a Comment