Monday 28 April 2014

Helah dua remaja perempuan

Helah dua remaja perempuan
Dua remaja bawah umur antara yang diperiksa di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini, pagi semalam.


BANDA HILIR - Usaha dua remaja perempuan bawah umur mengelak daripada diperiksa penguatkuasa tidak berhasil apabila mereka ditemui menyorok di bawah kaunter deejay sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, di sini, semalam.

Kedua-dua remaja itu terdahulu dilihat bergerak perlahan menuju kaunter di dalam pusat hiburan yang bercahaya suram berkenaan tanpa menyedari tindakan mereka dilihat seorang wartawan.

Wartawan yang menyertai serbuan itu kemudian memaklumkan beberapa pegawai polis dalam Ops Gejala Sosial diketuai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kira-kira jam 4.45 pagi.

Remaja yang tidak mempunyai kad pengenalan itu turut cuba berbohong mengatakan mereka berusia 21 tahun namun akhirnya mengaku berusia 16 dan 17 tahun hasil soal siasat pegawai penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menurut sumber, remaja terbabit yang datang berhibur bersama teman lelaki itu kemudian ditahan bersama 25 pengunjung pusat dan dibawa ke Mahkamah MBMB untuk ujian saringan air kencing namun kedua-duanya bebas pengaruh dadah.

“Bagaimanapun seramai 10 orang masing-masing lima lelaki dan perempuan ditahan AADK kerana ujian air kencing diperoleh mendapati mereka disyaki positif methamphetamine.

“Sementara itu, hanya seorang daripada 52 pengunjung yang melakukan saringan HIV didapati reaktif dan diserahkan kepada penguatkuasa Jabatan Kesihatan negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber berkata, pusat hiburan itu turut dikenakan saman kerana beroperasi melebihi tempoh dibenarkan selain peralatan termasuk pengadun muzik dirampas MBMB.

“Operasi selama lapan jam bermula 12 tengah malam kelmarin itu turut membabitkan 60 anggota dari pelbagai agensi masing-masing MBMB seramai 14 orang, JAIM (16), polis (6), AADK (6), Jabatan Kesihatan negeri (9) dan Jabatan Imigresen negeri (9),” katanya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment