Monday, 28 April 2014

Nelydia Senrose: Masih setia

Nelydia Senrose
Nelydia Senrose


HUBUNGAN cinta antara aktres cantik, Nelydia Senrose dan pelakon Qi Razali bukan lagi rahsia.

Berbeza dengan kisah percintaan kakaknya, Uqasha dan Pekin yang penuh teka-teki, Nelydia atau Qi, tetap teguh berada di sisi antara satu sama lain biarpun ada ketika hubungan mereka dilanda badai.

Bahkan kini pasangan romantis ini sudah mula berbicara soal status mereka ke peringkat yang serius.

“Bagi saya setiap perhubungan itu pasti ada perancangan, begitu juga saya dan Qi.

"Tapi disebabkan jadual kerja yang padat, kami belum berbincang lebih serius.

“Lagi pun soal bertunang atau berkahwin itu adalah perkara yang berada di luar kawalan saya.

"Jika ada berita baik seperti itu, saya perlu meminta izin ibu bapa saya terlebih dahulu.

“Kalau mereka izinkan, saya juga tiada halangan,” jawabnya. Pada masa yang sama, Nelydia juga lebih terbuka apabila diminta memberi pandangan soal berkahwin pada usia muda.

Ditanya apakah pandangannya berkahwin pada usia muda? Nelydia menjawab: “Sebenarnya ‘muda’ itu subjektif tapi ia terpulang pada pemikiran masing-masing.

“Saya sendiri tidak mahu tamatkan zaman bujang terlalu lambat, mungkin dalam usia 24 atau 25 tahun,” ujarnya.


Penangan Mastura

Keserasian pasangan karakter Jebat dan Mastura menerusi drama popular, Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang diterajui gandingan pelakon, Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose sememangnya tidak dapat dinafikan.

Keberkesanan lakonan yang dibawa mereka begitu memberi impak sehingga berjaya mendapatkan ‘rating’ penonton yang tinggi.

Sempat bertemu heroinnya pada tayangan episod akhir di Red Carpet Avenue @ Encorp Strand Mall, Kota Damansara, Nelydia akui perasaannya ketika itu bercampur baur.

“Sejujurnya saya rasa sedih bila drama ini sudah sampai di penghujungnya. Bukan sebab apa, cuma terkenangkan penat lelah saya dan kru lain menghabiskan penggambaran.

“Bukan mudah menyempurnakan drama 60 episod, tambahan pula drama ini diadaptasi dari novel, jadi saya agak tersentuh dan bercampur baur.

“Alhamdulillah, kerja keras kami ini sangat berbaloi dengan sokongan peminat yang begitu luar biasa,” katanya.


Adegan keterlaluan?

Disoal mengenai babak intim yang dilakonkan bersama Sharnaaz sebagai pasangan, pelakon yang senang di panggil Nely ini tidak menafikan ada di antaranya agak keterlaluan.

“Bila saya menonton drama ini, memang ada babak-babak romantis yang saya lakonkan agak berlebihan, tapi itu semua itu seperti yang tertulis dalam novel. Saya cuma buat yang terbaik.

“Tapi secara keseluruhannya, saya rasa biasa sahaja sebab sebagai pelakon saya juga tahu batasannya,” jelasnya.

Tambah Nelydia, watak Mastura benar-benar istimewa buat dirinya kerana ia amat berbeza dengan lakonannya sebelum ini.

“Watak Mastura ini memang lain. Sebelum ini saya hanya mainkan watak yang naif.

“Sebagai pelakon, saya perlu bijak menyesuaikan diri dengan watak-watak di diberikan dan saya anggap ia sebagai satu cabaran yang boleh mempelbagaikan kebolehan saya,” ujarnya.


Qi cemburu?

Keserasian lakonan antara Sharnaaz dan Nelydia menghidupkan watak masing-masing turut mengundang cerita nakal yang mengatakan mereka sedang menjalin hubungan cinta.

Gosip nakal itu menjadi lebih kuat apabila Sharnaaz kerap memuat naik gambar babak mesra Jebat dan Mastura berserta kapsyen yang romantis.

Perkara itu bukan sahaja mengundang pelbagai persepsi peminatnya, bahkan Qi juga meluahkan rasa bengang dan cemburu terhadap Sharnaaz kerana didakwa sengaja ‘menayangkan’ momen-momen romantis bersama kekasih hatinya.

“Apa yang saya tahu, Qi sendiri tidak ada masa mengikuti drama ini kerana jadual kerjanya yang padat

“Sepanjang menjalani penggambaran ini dia sentiasa beri sokongan kepada saya cuma biasalah, ada sedikit salah faham. Bagi saya perasaan cemburu itu normal,” katanya.

Kata Nelydia, kekasih hatinya itu tidak pernah meletakkan sebarang had kepada dirinya untuk menjalani karier lakonannya.

“Kalau saya hadkan cara lakonan pun, perkara itu datang daripada saya sendiri dan bukannya Qi.

“Lagi pun saya tidak akan mencampuradukkan peribadi dengan karier. Saya sendiri ada hak untuk bawa karakter dengan cara saya yang tersendiri dan tidak perlu orang lain mengajar saya,” jelasnya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment