Friday 28 February 2014

Wisma Putra kesan Nor Shafika di Pulau Basilan

JOHOR BAHRU - Selepas dua tahun berusaha mencari anak perempuannya yang dipercayai diculik oleh seorang lelaki warga Filipina, Abdul Ghani Md Yassin akhirnya memperolehi jawapan mengenai lokasi anaknya itu.

Pekerja syarikat swasta di Pasir Gudang itu berkata beliau menerima panggilan daripada Wisma Putra dan konsulat negara di Davao, Filipina semalam memaklumkan mengenai penemuan Siti Nor Shafika yang berusia 20 tahun.

Walaupun hatinya lega kerana anaknya sudah ditemui, tetapi pada masa sama beliau hairan dan terkejut dengan kenyataan yang didakwa dibuat oleh anaknya bahawa beliau gembira berada di Pulau Basilan dan enggan pulang ke Malaysia.

"Wisma Putra dan wakil konsulat Malaysia di Davao memberitahu anak perempuan saya kini berada di Pulau Basilan di selatan Filipina, di sebuah perkampungan yang dikuasai oleh kumpulan-kumpulan militan."

"Bagaimanapun, mereka (Wisma Putra dan wakil konsulat) memaklumkan bahawa anak saya, menerusi satu surat, menyatakan beliau telah berkahwin dan mahu terus tinggal di Pulau Basilan selain tidak mahu pulang ke Malaysia," katanya ketika mengunjungi Biro Johor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini.

Abdul Ghani, 45, yakin anak perempuannya itu, yang dianggapnya amat patuh kepada keluarga, telah dipaksa oleh pihak-pihak tertentu di Pulau Basilan untuk menulis surat berkenaan yang diragui kesahihan kandungannya.

Beliau berkata meragui kesahihan kandungan surat itu kerana tidak ada wakil pejabat konsul Malaysia di Davao yang menemui anaknya, sebaliknya pertemuan dengan Siti Nor Shafika dilakukan oleh pihak tempatan.

"Saya percaya jika anak saya dapat bertemu dengan pegawai Wisma Putra atau pejabat konsul di Davao itu tanpa kehadiran pihak-pihak lain, beliau akan menyuarakan hasrat untuk pulang ke Malaysia," katanya.

Beliau berharap Wisma Putra dan pejabat konsul Malaysia di Davao dapat mengatur pertemuan secara bersemuka dengan Siti Nor Shafika dan membawanya pulang ke Malaysia kerana bimbang dengan keselamatannya.

Selain itu, beliau bimbang dengan status anaknya sebagai pendatang asing tanpa izin di Filipina.

Sementara itu, sumber-sumber memberitahu Bernama bahawa usaha mengesan Siti Nor Shafika di Pulau Basilan itu dilakukan dengan kerjasama dengan pihak perisikan polis Filipina di Mindanao serta pihak Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM).

Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan diperlukan kerana lokasi Siti Nor Shafika merupakan sebuah kawasan yang dikuasai oleh beberapa kumpulan militan dan amat berbahaya untuk orang luar.

Pada Ogos tahun lepas, Bernama melaporkan berita mengenai usaha Abdul Ghani dan keluarganya untuk mengesan serta membawa balik anak perempuan mereka yang dipercayai dilarikan ke Filipina pada Mac 2012. - Bernama

No comments:

Post a Comment