Friday 28 February 2014

Riau isytihar darurat ekoran jerebu melampau

Jalan utama di Pekanbaru, Riau diselimuti jerebu pada Khamis. -- AFP PHOTO


JAKARTA: Wilayah Riau di kepulauan Sumatera telah diisytihar darurat ekoran jerebu dan asap tebal yang melanda kawasan itu ekoran kebakaran hutan secara meluas.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa AFP, kebakaran hutan di Riau bukan lagi sesuatu yang asing apabila hutan dilaporkan sengaja dibakar setiap tahun untuk ‘membersihkan’ tanah bagi tujuan penanaman kelapa sawit dan pulpa kayu.

Jerebu dan asap tebal telah mengakibatkan sistem pengangkutan terjejas dan sekolah ditutup selama beberapa hari.

Menurut jurucakap Agensi Bencana Negara, Sutopo Purwo Nugroho, lebih 20 individu telah ditahan kerana disyaki memulakan pembakaran hutan dan tanah gambut.

Tahun lalu, Malaysia dan Singapura mengalami jerebu paling dahsyat sejak lebih sedekad ekoran jerebu yang terhasil daripada pembakaran hutan di Sumatera yang turut merupakan masalah tahunan bagi Asia Tenggara.

Jerebu di Riau kali ini bagaimanapun secara keseluruhannya tidak menjejaskan negara-negara jiran.

Menurut Sutopo lagi, pengisytiharan darurat itu dibuat bagi membolehkan Riau mendapatkan bantuan dalam menangani kebakaran hutan daripada kerajaan pusat serta persediaan bagi melakukan pembenihan awan di samping proses memadamkan api dari udara.

“Agensi bencana kini sedang menyiapkan pesawat dan helikopter untuk mula melakukan ‘pengeboman’ air dari udara,” ujarnya.

Ketua Bencana Riau, Said Saqlul Amri memberitahu, lebih 25,000 mangsa dilaporkan mengalami masalah kesihatan kebelakangan ini ekoran pencemaran udara yang meruncing, dengan kebanyakannya mengalami jangkitan saluran pernafasan.

Status darurat yang diisytiharkan itu turut mengharuskan setiap pusat kesihatan memeriksa pesakit secara percuma, tambahnya.

Media tempatan pula melaporkan bahawa terdapat beberapa penerbangan ke Riau dibatalkan dan ada juga yang dilencongkan serta beberapa sekolah masih lagi ditutup di beberapa daerah.

Kebakaran tahun lalu telah menjadikan hubungan antara Indonesia dan beberapa negara jirannya tegang, sekaligus mendorong permohonan maaf daripada Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono kepada Malaysia dan Singapura pada kemuncak krisis.

Indonesia adalah pengeluar minyak sawit terbesar dunia - yang digunakan secara meluas dalam barangan harian seperti syampu dan gel - dan Riau ialah hab minyak sawit utama negara itu.

Agensi

No comments:

Post a Comment