Thursday 6 February 2014

Wanita ditahan akibat berkasar, cabar polis

Wanita ditahan akibat berkasar, cabar polis
Wan Mohd Samsudin (tengah) menunjukkan bahan mercun yang dirampas sepanjang Ops Limau.

RAUB - Seorang wanita berusia lewat 30an ditahan kerana bertindak kasar dan mencabar polis yang datang menasihati anaknya supaya tidak bermain mercun, dalam kejadian di Taman Jaya Raub, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu turut membawa penahanan tiga remaja termasuk anaknya, bagaimanapun ketiga-tiganya dibenarkan untuk diikat jamin pada malam yang sama.

Ketua Polis daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, ketika melakukan tugasan Ronda Cegah Jenayah, polis melihat dua remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berusia belasan tahun bermain mercun di hadapan rumah mereka.

“Polis kemudiannya menasihati ketiga-tiga remaja terbabit berhenti bermain mercun kerana perbuatan itu salah di sisi undang-undang, namun nasihat tidak diendahkan.

“Sebaliknya, polis dimarahi dengan nada yang kasar oleh wanita terbabit yang secara tiba-tiba keluar dari rumahnya. selain turut mencabar dan mempersoalkan tindakan yang dilakukan polis,” katanya.

Katanya, polis tidak mempunyai pilihan selain menahan wanita terbabit atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas bersama tiga remaja terbabit.

“Melalui hasil pemeriksaan di hadapan rumah wanita terbabit, polis turut menjumpai beberapa kotak pelbagai jenis mercun.

“Kesemua mercun dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan di mana jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau keduanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 285 kotak mercun pelbagai jenis berjaya dirampas semasa menjalankan Ops Limau pada 31 Januari lalu di mana seorang lelaki berusia lingkungan 60an ditahan di sebuah rumah Kawasan Pentadbiran Balai Polis Tranum.

Dalam masa yang sama, polis turut menemui pelbagai jenis mercun ketika membuat serbuan di sebuah kedai kopi tidak bernombor yang berkunci dan tidak berpenghuni.

Wan Mohd Samsudin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani masalah ini dan rondaan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berterusan bagi membanteras kegiatan terbabit.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment