Thursday 6 February 2014

1,000 rumah transit bagi rakyat pendapatan rendah

NCCIM

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) merancang membina 1,000 buah rumah transit di sekitar ibu negara bagi rakyat berpendapatan rendah yang bernilai RM18,000 seunit.

Cadangan pembinaan rumah transit yang berkonsepkan asrama itu dikemukakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada mesyuarat majlis penasihat program perumahan mampu milik bulan lepas.

Anggota majlis penasihat itu termasuk agensi kerajaan, pemain industri, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, program Perumahan Rakyat 1Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Berhad dan penyelidik universiti.

Presiden NCCIM Datuk Syed Ali Alattas berkata sewa sebanyak RM200 sebulan akan dikenakan bagi tempoh tiga tahun.

"Kami menganggarkan sewa bagi tempoh tiga tahun sebelum mereka mampu untuk membeli rumah kediaman," katanya kepada pemberita di ibu pejabat NCCIM di sini.

Syed Ali berkata individu berpendapatan bawah RM2,000 dikategorikan sebagai golongan berpendapatan sangat rendah manakala mereka berpendapatan RM3,000 ke bawah dikelaskan sebagai golongan berpendapatan rendah.

"Golongan berpendapatan rendah tidak mempunyai peruntukan untuk perumahan berikutan kebanyakan gaji mereka dibelanjakan untuk makanan, pengangkutan serta pembayaran hutang dan pinjaman," katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Agung NCCIM Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee mengumumkan Syed Ali telah dilantik sebagai Presiden NCCIM bagi penggal kedua. - Bernama

No comments:

Post a Comment