Thursday 6 February 2014

Bapa cedera ditikam anak akibat salah faham

KOTA BHARU - Seorang warga emas cedera ditikam di bahagian perut oleh anaknya susulan perselisihan faham dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Seterpa, Bukit Marak, di sini hari ini.

Anak saudara mangsa, Sauli Mokthar, 47, berkata pada jam 6.30 pagi mangsa Ibrahim Che Mud, 62, ditikam menggunakan pisau oleh anak ketiganya yang berumur
29 tahun di dalam biliknya.

"Saya yang ketika itu sedang tidur dikejutkan dengar jeritan mangsa, bergegas ke bilik mangsa dan mendapati kedua-dua beranak itu sedang bergelut sebelum mangsa jatuh akibat ditikam.

"Anaknya yang merupakan penganggur kemudian melarikan diri dengan kereta selepas menikam bapanya beberapa kali," katanya ketika ditemui pemberita.

Sauli berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, isteri Sauli, Fairuz Che Mat, 42, berkata beliau yang sedang bercuti di rumah bapa saudaranya itu sejak lima hari lalu tidak menyangka kejadian seumpama itu berlaku.

"Mangsa hanya tinggal berdua dengan anaknya," katanya sambil menambah tiga lagi anak warga emas itu tinggal di beberapa bandar lain.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun berkata masih mengumpul maklumat lengkap mengenainya. 

 - Bernama

No comments:

Post a Comment