Thursday 6 February 2014

Sanggup rempuh pengadang tol

Sanggup rempuh pengadang tol
Polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian berkenaan selepas tiga suspek tersebut berjaya ditahan, semalam.

PETALING JAYA - Tindakan pantas pasukan polis peronda yang ingin menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan membawa kepada penahanan tiga lelaki yang dipercayai suspek dalam kes pecah rumah.

Menurut sumber polis, dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, pasukan polis peronda berkenaan turut terpaksa mengejar kereta jenis Kancil berwarna kelabu itu setelah pemandunya enggan memberhentikan kenderaan setelah diarahkan di sekitar Sri Damansara.

“Polis pada mulanya berasa curiga dan ingin menjalankan pemeriksaan seperti biasa, namun suspek dilihat enggan memberhentikan kenderaan menyebabkan polis terpaksa mengejarnya,” kata sumber terbabit.

Menurut sumber, selepas itu, pemandu kenderaan berkenaan hilang kawalan dan bergesel dengan kenderaan peronda polis sehingga terbabas ketika tiba di Jalan Persiaran Bandar Utama.
Selain itu, polis juga terpaksa menggunakan khidmat 10 kereta peronda bagi mengejar suspek.

“Kereta yang dinaiki ketiga-tiga suspek berumur lingkungan 20-an hilang kawalan selepas berlaku aksi kejar-mengejar selama 10 minit dan suspek juga turut merempuh pengadang di Plaza Tol Sungai Penchala bagi melepaskan diri,” katanya.

Menerusi pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan terbabit, polis menemui beberapa barangan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan pecah rumah.

Selain itu, salah seorang daripada suspek turut mengalami kecederaan ringan di kepala selepas kereta yang dipandu terbabas.

Kesemua yang ditahan didapati berada di bawah pengaruh dadah.

“Dua lagi suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil siasatan awal polis juga mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment