Thursday 6 February 2014

FAM putuskan JDT menang 3-0 ke atas T-Team


KELANA JAYA: Johor Darul Ta'zim (JDT) layak ke suku akhir Piala FA selepas diberi kemenangan 3-0 ke atas T-Team oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat JKPT yang bersidang hampir lima jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, bagi membincangkan status perlawanan pusingan kedua antara JDT dan T-Team, yang tertangguh, Sabtu lepas.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 4.12.15b peraturan pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 kerana kesalahan T-Team menarik diri pada baki perlawanan tanpa alasan yang kukuh.

Beliau berkata keputusan mesyuarat jawatankuasa itu dibuat selepas mengambil kira keterangan yang telah diberikan oleh kedua-dua pasukan (JDT dan T-Team), pengadil, pegawai perlawanan dan pegawai penyelaras.

Pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, T-Team, yang ketinggalan 2-1 pada separuh masa, enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua atas alasan faktor keselamatan.

T-Team mengambil tindakan tersebut selepas mendakwa seorang pemain dan jurulatih kecergasannya dikasari oleh pihak pengurusan tertinggi JDT semasa menuju ke bilik persalinan di stadium berkenaan.
Berikutan insiden itu, kedua-dua pasukan itu membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengerusi JKPT merangkap Naib Presiden FAM, Datuk Affandi Hamzah berkata hanya pengadil dan pegawai pertandingan sahaja mempunyai kuasa untuk meneruskan atau menghentikan sesuatu perlawanan dan bukan pasukan yang bertanding.

Dalam hal itu, katanya, pengadil dan pegawai pertandingan mengesahkan bahawa perlawanan tersebut boleh diteruskan namun T-Team tetap dengan pendirian untuk tidak mahu menghabiskan perlawanan separuh masa kedua.

Pengadil tidak membuat keputusan untuk menangguhkan perlawanan tersebut tetapi sebaliknya pasukan pelawat yang enggan meneruskan perlawanan, katanya.

Mengulas mengenai insiden kekecohan berkenaan, Affandi berkata perkara tersebut akan diserahkan kepada Sekretariat FAM untuk membuat siasatan lanjut.

"Pihak Sekretariat masih belum menentukan sama ada terdapat kes atau tidak berhubung insiden tersebut kerana siasatan lanjut belum bermula," katanya.

Affandi berkata sekiranya terdapat kes, perkara tersebut akan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Dalam pada itu, Hamidin memberi jaminan bahawa Sekretariat FAM akan melakukan siasatan secara telus dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain, pegawai mahupun presiden persatuan yang didapati bersalah. - Bernama

No comments:

Post a Comment