Monday 13 January 2014

Kota raya Bangkok lumpuh

Kota raya Bangkok lumpuh
Penyokong anti kerajaan mula berarak sejak semalam ke bandar-bandar utama.


BANGKOK - Kediaman Menteri Buruh menjadi lokasi pertama dibanjiri penyokong anti kerajaan kurang 24 jam sebelum protes mega anjuran Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) yang berlangsung hari ini.

Pemimpin kanan PDRC, Sathit Wongnongtoey berkata, Setiausaha Perhubungan Gabungan Perusahaan Pekerja (PSPN) Khomsan Thongsiri, membawa penunjuk perasaan ke kediaman Chalerm Yubamrung di Bang Bon, petang semalam, sebelum berhimpun di Ratchadamnone Avenue dan Lat Phrao.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Phitsanulok, Warong Dechgitvigrom mengugut memotong bekalan elektrik dan air di Kementerian Kesihatan Awam di Nonthaburi, pagi ini.

Tindakan itu dilakukan selepas Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Narong Sahametapat dikenakan tindakan disiplin kerana menyokong gerakan anti-kerajaan.

Sementara itu, Ketua Tentera Prayuth Chan meminta media menghentikan spekulasi mengenai rampasan kuasa.

“Tentera tidak akan campur tangan dalam perhimpunan ini kerana ia akan memburukkan lagi keadaan,” katanya dipetik Bangkok Post

Namun, beliau tidak menolak konfrontasi ganas mungkin tercetus antara dua kumpulan politik itu.

Dalam perkembangan sama, lima pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya mengemukakan permintaan kepada pemangku Perdana Menteri Yingluck Shinawatra untuk menangguhkan pilihan raya 2 Februari ini ke 4 Mei.

Bagaimanapun, ahli PDRC Sathit Wongnongtoey berkata, cadangan itu adalah tindakan sia-sia kerana kerajaan sementara adalah individu sama dalam kerajaan terdahulu.

Via Sinar Harian, Januari 13

No comments:

Post a Comment