Wednesday, 11 December 2013

Ulang jenayah pada orang sama

KUALA TERENGGANU - Dua penyamun seolah-olah ‘naik lemak’ apabila mengulangi jenayah ugut dan samun buat kali kedua, selepas kegiatan pertama mereka sebelum itu terhadap mangsa yang sama, berjaya membuahkan hasil.

Kejadian kali kedua itu berlaku kira-kira jam 8.30 malam, di sebuah kedai runcit di Kampung Teluk Menara, Manir, Sabtu lalu.

Menurut sumber, tiga minggu lalu, lebih kurang jam 7.30 malam, kedua-dua suspek telah pun melakukan jenayah tersebut terhadap mangsa, 42, yang ketika kejadian berada bersendirian di kedai runcit miliknya.

“Mangsa yang ketika itu berada di kaunter pembayaran telah didatangi salah seorang suspek dengan memakai baju hujan dan bertopi keledar manakala seorang lagi sedang menunggu di atas motosikal di luar kedai.

“Memandangkan keadaan ketika itu agak lengang tanpa kehadiran pelanggan, suspek bertindak berani dengan terus mengacukan sebilah parang sambil mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya tidak menyerahkan wang,” katanya.

Sumber berkata, bimbang keselamatan diri, mangsa terus menyerahkan wang berjumlah RM26 yang ada di dalam mesin kira-kira di kaunter pembayaran itu sebelum suspek beredar bersama rakannya yang sedang menunggu di atas motosikal.

Jelas sumber, bagaimanapun, mangsa mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana dipercayai hanya melibatkan kerugian yang agak kecil dan mungkin menganggap suspek tidak akan datang lagi melakukan jenayah sama di kedai runcit miliknya pada masa akan datang.

Bagaimanapun, sangkaan mangsa meleset apabila suspek datang semula ke kedai runcitnya Sabtu lalu dengan salah seorang daripadanya menggenggam sebilah pisau lipat.

“Mangsa bernasib baik kerana ketika kejadian, ada seorang pelanggan di dalam kedai menyebabkan suspek terpaksa menangguhkan niatnya dengan berpura-pura membeli sebungkus roti sebelum beredar dari situ,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang trauma dengan insiden kedua itu nekad membuat laporan polis sejurus suspek berlalu dari situ.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

Dalam masa sama, Zamri menasihatkan orang ramai agar jangan sesekali menangguhkan atau tidak mahu membuat laporan polis jika berdepan dengan apa jua jenayah walaupun tidak melibatkan kerugian besar atau nyawa.

“Saya juga minta kerjasama orang ramai agar dapat menyalurkan maklumat kepada polis jika mengetahui atau mempunyai maklumat berkaitan jenayah tersebut bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment