Wednesday 11 December 2013

Sarawak bakal jadi negeri termaju Malaysia

Abdul Taib Mahmud
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud


KUCHING - Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini meramalkan Sarawak akan melonjak menjadi negeri termaju di negara ini daripada tempat ketiga ketika ini apabila program Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) dilaksanakan sepenuhnya.

Keyakinan beliau Sarawak akan mencapai status itu menjelang 2030 adalah berasaskan semangat setiakawan yang terjalin antara kepimpinan tertinggi negeri dan penjawat awam serta dedikasi perkhidmatan awam peringkat negeri dan persekutuan dalam memberi fokus terhadap program pembangunan negara.

"Bukan kerana kita bernasib baik, tetapi kerana kita telah belajar melalui khidmat serta pendedahan yang begitu lama tentang cara menyesuaikan program pembangunan dengan kepakaran kita dan hal-ehwal setempat dalam mengajak rakyat mengambil bahagian dan mempercepatkan langkah pembangunan di negara kita," katanya.

Taib berkata demikian ketika merasmikan Hari Perkhidmatan Awam 2013 dan pelancaran kiosk e-kerajaan pertama di Plaza Merdeka di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Ghani dan Setiausaha Persekutuan Datuk Md Yahaya Basimin.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment