Wednesday 11 December 2013

Kakitangan PDRM maut dijangkiti H1N1

Kakitangan PDRM maut dijangkiti H1N1
Khalid (kanan) menyampaikan anugerah juara Kategori A Balai League Team (BLT) kepada wakil Balai Polis Kg Rapat Ipoh Perak semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang kakitangan awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah disahkan maut manakala beberapa individu lain yang dipercayai dijangkiti influenza A masih dikuarantin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kakitangan awam berkenaan dipercayai dijangkiti ketika mengikuti majlis Perjumpaan Kakitangan Awam PDRM Dengan KPN di Melaka pada 4 Disember lalu.

“Ketika perjumpaan itu, kira-kira 300 kakitangan awam PDRM dari seluruh negara hadir. Kesemua individu berkenaan termasuk saya diarahkan menjalani rawatan lanjut.”

“Manakala mereka yang dipercayai dijangkiti pula dikuarantin untuk rawatan lanjut di hospital di Melaka dan Alor Setar,” katanya.

Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada salah seorang kakitangan awam dari Alor Setar, Kedah.

“Difahamkan kesemua individu yang menaiki sebuah bas dari Alor Setar itu telah dikuarantin untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, insiden itu tidak menjejaskan tugasan harian kakitangan PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kedah dan Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye ketika dihubungi mengesahkan Salmiah Omar, 48, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah meninggal dunia pada 5 Disember lalu dipercayai akibat H1N1.

“Dia sebenarnya sudah sakit sebelum datang ke Melaka untuk menghadiri perhimpunan pegawai awam bersama Ketua Polis Negara di Hotel Mahkota yang berlangsung pada 4 Disember lalu.

“Pada hari sama dia jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Mahkota, Banda Hilir dan meninggal dunia pada 5 Disember lalu,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment