Wednesday 11 December 2013

Najib lancar Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan

Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kereta Proton Perdana baru untuk kerajaan. --fotoBERNAMA


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan.

Proton Perdana berwajah baharu itu menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis itu, Najib juga menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W11N.

Turut hadir Muhyiddin, Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan menteri-menteri kabinet.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohd Khamil berkata Proton Holdings Berhad (Proton), anak syarikat DRB-HICOM, hari ini menyerahkan kumpulan pertama 200 unit Proton Perdana kepada kerajaan.

Beliau berkata 3,000 unit lagi akan diserahkan kepada kerajaan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun bagi menggantikan kumpulan Proton Perdana pada masa ini yang digunakan sebagai kenderaan kerajaan.

"Buat masa ini, Proton Perdana baharu itu hanya untuk kenderaan rasmi kerajaan, termasuk agensi kerajaan dan ia tidak akan dijual kepada orang awam.

"Proton juga menerima permintaan daripada kerajaan negeri dan badan berkanun untuk menukarkan Proton Perdana yang sedia namun ia tertakluk kepada kelulusan," katanya.

Mohd Khamil berkata Proton Perdana merupakan sebahagian daripada program pembangunan yang dijalankan Proton dengan kerjasama Honda Japan Ltd.

Beliau berkata ia merupakan fasa pertama program antara Proton dan Honda, menurut perjanjian kerjasama antara kedua belah pihak akhir tahun lepas.

"Kami menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia atas kepercayaan mereka kepada Proton dan memberikan kami peluang sekali lagi sebagai penyedia kenderaan rasmi kerajaan," katanya.

Mohd Khamil berkata penggantian model Perdana yang akan digunakan kerajaan Persekutuan adalah di bawah fasa satu perancangan Proton bagi membangunkan segmen D baharu.

Katanya Proton telah memulakan fasa dua program berkenaan yang membabitkan pembangunan seterusnya model segmen D mengikut inisiatif perkongsian platform dengan Honda Japan Ltd, dengan reka bentuk dalaman dan luaran yang baharu.

"Ia akan dilancarkan di pasaran Malaysia dalam tempoh 18 hingga 24 bulan. Ia akan dijual kepada orang awam," katanya.

ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment