Wednesday, 11 December 2013

Chong Wei bidas pilihan venue BWF

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengecam Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berikutan pemilihan venue Siri Super Akhir di Stadium Badminton Cheras yang disifatkan sebagai tidak sesuai dengan standard kejohanan itu. 

Pemain nombor satu dunia itu jelas tidak gembira dengan kualiti stadium berkenaan malah menyifatkan jarak lima minit di antara gelanggang pemanas badan yang terletak di sebuah sekolah berdekatan stadium sangat tidak praktikal. 

Saya belum pernah beraksi dalam kejohanan bertaraf Siri Super yang gelanggang pemanas badan jaraknya lima minit dari stadium, ini kali pertama. Selain itu, stadium ini juga kecil dan tidak sesuai untuk kejohanan berprestij seperti Siri Super Akhir. 


Bumbung bocor 

Ini bukan untuk kepentingan saya seorang sebaliknya semua pemain yang beraksi apatah lagi semua berada di kelompok lapan terbaik dunia ranking Siri Super, kata Chong Wei ketika ditemui selepas majlis undian kejohanan di sini semalam. 

Ketika Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur, Oktober lalu bumbung stadium itu bocor hingga menyebabkan air hujan menitik ke gelanggang. 

Selain itu, keselamatan pemain yang perlu berulang-alik untuk memanaskan badan turut dibimbangi mengundang bahaya apatah lagi jika perlawanan berlangsung di sebelah malam. 
Bagaimanapun, difahamkan mengikut peraturan BWF, Siri Super Akhir diiktiraf sebagai kejohanan kelas kedua di mana gelanggang pemanas badan tidak diwajibkan, sebaliknya hanya kejohanan berkelas pertama seperti Piala Thomas, Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia yang mewajibkan badan induk berkenaan menyediakan gelanggang pemanas badan. 

Sementara itu, Chong Wei yang diundi dalam Kumpulan A bersama pemain Denmark, Jen O Jorgensen, Boonsak Ponsana (Thailand) dan Wang Zhengming (China) mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri mampu membantunya memburu gelaran keempat Siri Super Akhir selepas menjuarainya pada 2008, 2009 dan 2010. 

Gelaran ke-4 

Undian yang sukar apa lagi perlu berdepan pemain muda seperti Zhengming yang sentiasa pamer peningkatan. Selain itu, pemain lain seperti Jorgensen, Kenichi Tago (Jepun), Tommy Sugiarto (Indonesia) dan Boonsak turut mampu memberi cabaran sengit, kata Chong Wei. 

Beregu lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang layak beraksi selepas menggantikan tempat beregu nombor satu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menarik diri apabila Kien Keat mengalami sakit mata diundi dalam Kumpulan A bersama juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, Liu Xiaolong-Qiu Zihan (China) dan Kim Ki Jung-Kim Sa Rang (Korea Selatan). 

Beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula diundi dalam Kumpulan A bersama pasangan China, Zhang Nan-Zhao Yunlei, Chris Adcock-Gabriell White (England) dan Sudket Prapakomol-Saralee Thoungthongkam (Thailand).

Berita Harian 

No comments:

Post a Comment