Wednesday, 22 April 2015

Perlu komited untuk jana pendapatan melalui blog

GRACE TAN: Blogger yang bijak tahu apa yang dikehendaki pembacanya. -Foto workingwithgrace.wordpress.com

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai yang sudah mengetahui blogger kini merupakan satu kerjaya profesional.

Namun jika anda beranggapan bergelar blogger adalah cara mudah untuk mendapatkan wang, ia adalah pandangan yang salah.

Grace Tan, seorang blogger profesional untuk blog workingwithgrace yang merupakan salah seorang panel dalam Persidangan Malaysia Social Media Week, menekankan kepentingan mengenal pasti minat sendiri sebelum mengambil keputusan memulakan blog.

Kata Grace, adalah sangat penting untuk seorang blogger mengetahui hala tuju blog yang dimiliki kerana ia akan menjadi tanda aras minat masyarakat terhadap blog tersebut, sekali gus memudahkan pemilik blog menjana pendapatan melalui blog miliknya.

Blogger muda berusia 28 tahun ini juga memberitahu, seorang blogger yang baik bukan setakat mempunyai idea untuk mewujudkan isi kandungan yang bernas dan menarik tetapi juga perlu sentiasa mengemas kini blog secara konsisten.

Grace juga mengingatkan untuk menarik pengikut yang ramai, adalah penting untuk mempunyai hubungan yang baik dan interaktif dengan pengikut blog.

"Kenali mereka secara peribadi kerana jalinan hubungan sebegini lebih bertahan dan ini tentunya menguntungkan blogger itu sendiri," kata Grace.

Antara cara yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan melalui blog ialah iklan, ulasan berbayar, Google Ads dan memperaga untuk kedai blog (blogshop).

Persidangan Minggu Media Sosial Malaysia berlangsung dari 21 hingga 25 April ini, di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment