Wednesday 22 April 2015

Sabhi Saddi tampil dengan imej `sado'

PENYANYI dan pelakon, Sabhi Saddi. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Sabhi Saddi, kini tampil dengan imej `sado' , penampilan yang berbeza berbanding pada awal kemunculannya dalam bidang seni.

Pelantun lagu Cinta Sesungguhnya itu sudah lama menyimpan impian untuk bertubuh sasa, namun niatnya terbantut kerana kesihatannya yang tidak begitu mengizinkan. 

"Orang melihat kemunculan saya dalam industri seni ini sebagai biasa dan tiada yang istimewa mengenai saya. Penampilan berbadan 'sado' ini menampilkan sisi yang lain bagi diri saya. Selain untuk menjayakan watak bagi projek terbaharu, saya memang sudah lama ingin berbadan sasa sebegini. Kali ini, memang saya penuh bersemangat dari segi pemakanan dan juga senaman lima kali seminggu di gimnasium.

"Saya tetap mencuri masa ke gimnasium walaupun sibuk dengan penggambaran. Malah, saya tidak mengambil nasi serta gula kerana begitu berdisiplin dengan menu harian," katanya kepada BH Online.

Jejaka kelahiran Sabah ini berkongsi beliau kini sibuk dengan penggambaran drama Puteri Gunung Ledang untuk saluran Hypp TV sebanyak 30 episod bergandingan bersama Ammar Alfian dan Atikah Suhaime.

Mengulas mengenai kerjaya nyanyiannya, Sabhi berkata, beliau gembira single Kisah Kita duet bersama Nieyl Mentor berjaya menambat hati pendengar muzik tempatan. Lagu itu turut menjadi lagu tema drama Bencinta lakonan Nur Fathia Latiff dan Fattah Amin, yang kini ditayangkan slot Samarinda TV3. 

"Saya tidak terkilan apabila Fathia dan Aiman berduet menyanyikan lagu Kisah Kita di sebuah anugerah, baru-baru ini, sebaliknya saya berbangga kerana inisiatif mereka mempersembahkan lagu ini secara tidak langsung membuka mata ramai terhadap lagu ini.

"Saya gembira kerana impak persembahan mereka membuatkan orang ramai tercari-cari siapakah penyanyi asal yang menyanyikan lagu ini," katanya.

Selain itu, Sabhi berkata, sebuah lagi lagunya yang berjudul Tiada Lagi Cinta ciptaan Eddie Hamid dan A Aida bakal dijadikan lagu tema drama Aku Tak Sempurna. 

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment