Wednesday, 22 April 2015

Gaduh dengan suami punca pukul anak

Laporan Sinar Harian semalam.

IPOH – Perselisihan faham dengan suami dikesan punca utama seorang ibu muda bertindak di luar kewarasan dengan memukul dan menendang bayi perempuan mereka yang baharu berusia lima bulan, minggu lalu.

Lebih memeranjatkan, remaja berusia 17 tahun itu merakam sendiri perlakuannya sebelum rakaman berdurasi 48 saat itu menjadi viral di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, ibu bayi itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam keterangan, kelmarin.

Menurutnya, bayi itu adalah anak tunggal kepada pasangan suami isteri masing-masing baru berusia 17 dan 18 tahun.

“Setakat ini tiada kecederaan serius ditemui pada bayi itu namun kita masih menunggu laporan lengkap perubatannya.

“Bayi itu diserahkan kepada ibu dan neneknya untuk dijaga dengan pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Derma Darah Hari Polis Ke-208 Peringkat Kontinjen Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis (PLPGU) di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit yang tidak bekerja itu mempunyai masalah rumah tangga dan dalam proses untuk berpisah.

“Kita akan serah kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan seterusnya,” katanya.

Mohd Dzuraidi turut menasihatkan masyarakat supaya tidak bertindak negatif untuk melepaskan geram sehingga mendatangkan kecederaan fizikal kepada anak-anak mereka.

“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment