Tuesday, 7 July 2015

Rozana tidak sempat jual barang mewah miliknya


ISTERI kepada penyanyi rock Awie, Rozana Misbun memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa beliau tidak sempat menjual kesemua beg serta kasut mewah yang dimilikinya untuk membayar balik wang Awie. 

Rozana berkata, ini berikutan tindakan Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman, 47, merampas kesemua barang tersebut selepas kejadian dipukul pada 2 Jun tahun lepas. 

"Semua barang yang dia (Awie) dakwa saya punya termasuk hadiah darinya ada bersama dia, jadi saya tak sempat nak jual walau satupun," katanya ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene. 

Rozana, 37, berkata, sebelum itu beliau telah bersetuju dengan Awie untuk menjual semua barang mewah itu bagi membayar balik wang suaminya dalam tempoh dua minggu dari tarikh tersebut. 

Katanya, tindakan Awie yang mengatakan dirinya telah menjual barang tersebut dan tidak menyerahkan duit kepada penyanyi itu adalah tidak benar. 

Rozana mengakui telah membeli hanya satu beg selepas perkahwinannya dengan Awie dan selebihnya dibeli sebelum mendirikan rumah tangga dengan penyanyi itu. 

Beliau bagaimanapun menafikan menggunakan wang yang ada di dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk membeli beg tersebut kerana wang di dalam ASB itu adalah dalam bentuk pinjaman berjumlah RM250,000 dan hanya boleh dikeluarkan pada 2016. 

Katanya, wang Awie yang disimpan di dalam akaun bank miliknya juga tidak dikeluarkan untuk kegunaan peribadi sebaliknya untuk perbelanjaan keluarga dan membayar sewa bulanan sebuah kelab milik Awie di Ipoh, Perak. 

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya mengenai telefon bimbit yang digunakannya untuk mengambil gambar kecederaan selepas dipukul, Rozana yang mempunyai dua telefon bimbit berkata dia tidak menggunakan telefon Iphone 4 miliknya kerana telefon itu telah dipecahkan oleh Awie sehari sebelum kejadian dia dipukul. 

"Awie bertindak demikian kerana saya telah tunjukkan gambar dia bersama seorang perempuan lain dan Awie yang dalam keadaan marah telah membaling telefon itu ke dinding," katanya. 

Rozana sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa kamera Blackberry miliknya telah rosak dan dia telah mengambil gambar kecederaan itu menggunakan telefon bimbit Samsung milik pembantu rumahnya dan gambar itu telah dihantar ke telefon BlackBerry menggunakan sistem WhatsApp. 

Pada 4 Julai tahun lepas, Awie, mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Klang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun tahun lepas.

Awie didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Perbicaraan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman bersambung 13 Julai ini. 

Pihak pembelaan diwakili peguam Hazman Harun. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment