Ketua Operasi PADKP, Abdul Rahim Abu (kiri) menyoal pelajar IPT yang ditahan khalwat.
ALOR SETAR - Tindakan dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini menyewa sebuah motel untuk memadu asmara pada bulan Ramadan membawa padah apabila ditahan sepasukan Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kubang Pasu, kelmarin.
Masing-masing yang berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan ketika duduk berdua-duaan dalam sebuah bilik motel kira-kira jam 1 pagi.
Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya mengetuk pintu bilik berkenaan beberapa kali sebelum seorang lelaki membukanya dan membenarkan untuk pemeriksaan.
Menurutnya, sebaik memasuki bilik itu, mereka menemui seorang wanita berpakaian lengkap dalam ketakutan, sedangkan teman lelakinya hanya memakai tuala.
“Siasatan awal kita mendapati mereka menyewa dua bilik berasingan pada jam 10 malam sebagai helah untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Mereka memberi alasan terpaksa menyewa di situ kerana pintu asrama IPT berkenaan sudah ditutup,” katanya.
Bagaimanapun, kesempatan itu digunakan teman lelakinya untuk menyelinap masuk ke bilik wanita itu sebelum mereka ditangkap berkhalwat.
“Ketika soal siasat, lelaki itu mendakwa tidak melakukan apa-apa dengan pasangannya selain hanya duduk berdua sementara menunggu waktu bersahur.
“Tetapi keadaannya yang hanya memakai tuala ketika pemeriksaan menimbulkan syak anggota penguatkuasa,” katanya.
Menurutnya, pasangan yang berasal dari Sungai Petani itu juga gagal menunjukkan sebarang bukti status mereka sebagai pasangan suami isteri mahupun mahram.
“Kita percaya mereka sudah lama berkenalan dan kerap berjumpa di sini sejak pelajar perempuan itu melanjutkan pelajaran di sebuah IPT di Jitra.
“Manakala teman lelakinya itu pula merupakan pelajar di sebuah IPT dekat Sungai Petani,” katanya.
Syeikh Radzi berkata, pasangan itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jitra sebelum diambil keterangan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP).
Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment