Tuesday 7 July 2015

1MDB: Enam akaun bank terlibat dalam siasatan dibekukan

Perintah pembekuan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes ini telah pun dikeluarkan pada 6 Julai 2015.

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan dana disalurkan ke akaun perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memaklumkan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes terbabit telah menerima arahan pembekuan.

Perintah pembekuan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes ini telah pun dikeluarkan pada 6 Julai 2015.

Selain itu, Pasukan Petugas Khas itu juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua buah bank bagi membantu siasatan.

“Pasukan Petugas Khas juga telah mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit,” menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu pasukan itu juga memaklumkan siasatan masih lagi berjalan dan semua pihak diminta agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sabtu lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kenyataannya memaklumkan siasatan ke atas tiga syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan pemindahan sejumlah dana yang besar ke akaun Perdana Menteri telah dilakukan dan memperoleh sejumlah dokumen yang berkaitan.

Tiga syarikat itu adalah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Siasatan dilakukan oleh sebuah kumpulan penyiasat pasukan petugas khas yang dianggotai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Abdul Gani juga mengesahkan bahawa pasukan khas itu telah memulakan siasatan berhubung isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menyerahkan kepada beliau beberapa dokumen untuk disemak termasuk dokumen yang berkaitan dengan dakwaan penyaluran dana ke akaun Perdana Menteri.

"Siasatan akan memfokus setiap aspek yang dibangkitkan," kata Abdul Gani dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment