Tuesday 7 July 2015

PLUS tawar rebat tol 50 peratus sempena Aidilfitri

Tawaran yang bermula 13 Julai ini adalah antara usaha PLUS untuk menggalakkan orang ramai merancang jadual perjalanan mereka lebih awal seterusnya mengelak kesesakan di lebuhraya.

SUBANG JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol sehingga 50 peratus kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang menggunakan perkhidmatan Smart Tag dan Touch ‘n Go sempena perayaan Aidilfitri.

Tawaran yang bermula 13 Julai ini adalah antara usaha PLUS untuk menggalakkan orang ramai merancang jadual perjalanan mereka lebih awal seterusnya mengelak kesesakan di lebuhraya.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, rebat tol tersebut akan ditawarkan untuk perjalanan sepanjang hari jarak jauh 100 kilometer pada 13 serta 23 Julai ini.

“Ini adalah kali pertama kita buat rebat tol seperti ini, jadi kami pun nak tahu apakah tindakbalas daripada para pengguna, sama ada mereka akan mengambil kesempatan untuk menikmati rebat ini dan balik awal,” katanya ketika di taklimat bersama media di Persada PLUS pada Isnin.

Selain itu, bagi rebat tol 40 peratus, tempoh yang ditetapkan adalah pada 14 dan 22 Julai ini.

Manakala bagi rebat tol 30 peratus pula, ia ditawarkan untuk perjalanan pada 15 dan 21 Julai.

Menurut Noorizah, PLUS juga mengeluarkan jadual waktu perjalanan bagi mengelak kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan untuk tempoh puncak iaitu dari 16 Julai hingga 20 Julai ini.

Jadual itu termasuk perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang dan bandar-bandar utama.

Jadual perjalanan dari Lembah Klang ke bandar-bandar utama dari 16 Julai hingga 20 Julai

PLUS turut menasihatkan orang ramai yang menuju ke bandar-bandar utama dari Lembah Klang supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sea walk jam 6 pagi sehingga 6 petang sepanjang hari berkenaan.

Jadual perjalanan dari bandar-bandar utama ke Lembah Klang dari 16 Julai hingga 20 Julai

Manakala pengguna lebuhraya dari bandar-bandar utama ke Lembah Klang perlu merancang perjalanan mereka seawal jam 6 pagi hingga 8 malam.

PLUS menjangkakan 1.6 juta kenderaan akan menggunakan lebuhraya itu menjelang cuti perayaan nanti, berbanding 1.3 juta kenderaan sehari pada hari biasa.

Orang ramai juga dinasihati supaya mendapatkan maklumat trafik terkini termasuk menerusi perkhidmatan talian bebas Plusline 1800 88 0000 atau aplikasi PLUS mobile.

PLUS akan menyediakan 28 unit kenderaan perkhidmatan bergerak iaitu Workshop on Wheels (WoW) yang beroperasi di lokasi terpilih untuk membantu pengguna lebuhraya sebagai tambahan daripada pasukan bantuan PLUSRonda. 

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment