Tuesday 7 July 2015

'Kenapa Najib tak nafi akaun AmBank itu bukan miliknya?'

MAHFUZ: Selain tidak menafikan, Najib hanya berkata beliau tidak akan samun wang rakyat. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menafikan nombor akaun AmBank yang dilaporkan Wall Street Journal (WSJ) adalah miliknya.

Menurut Mahfuz, perkara itu dilihat janggal kerana jika betul Najib hendak songlap wang negara, beliau tidak akan memasukkan wang tersebut ke akaun dalam negara.

"PM Najib tidak menafikan tuduhan tersebut dari segi fakta dan angka yang telah dilaporkan WSJ. PM hanya menyatakan bahawa beliau tidak akan songlap wang rakyat.

"Katanya lagi kalau betul beliau hendak songlap duit negara takkan saya hendak masukkan duit tersebut ke akaun dalam negara," kata Mahfuz dalam kenyataannya pada Selasa.

Katanya, selain tidak menafikan, Najib hanya berkata beliau tidak akan seleweng wang rakyat.

"Persoalannya beliau hingga kini tidak menafikan akaun yang didedahkan oleh WSJ dengan nombor akaun di AmBank adalah akaun peribadi miliknya.

"PM Najib juga tidak menafikan wang sejumlah RM2.6 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa milik peribadi beliau di AmBank.

"Beliau tidak menafikan tiga syarikat yang disebut oleh laporan WSJ yang memasuk wang yang keseluruhan jumlahnya RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi miliknya," kata Mahfuz.

Jumaat lalu, Najib telah menyangkal laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Dalam laporan itu, WSJ mendakwa dokumen menunjukkan dana tersebut dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi Perdana Menteri dalam beberapa deposit berasingan.

Sarawak Report pula pada Jumaat mendakwa RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan.

Kedua-dua WSJ dan Sarawak Report memetik dokumen yang kononnya diperoleh daripada siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment