Friday 17 July 2015

Impian perkahwinan Nelydia Senrose

PELAKON, Qushairi Mohammed Razali dan Nelydia Senrose di sesi pengumuman artis Paranormal Studio di Avito Plaza. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Seperti wanita lain, Nelydia Senrose atau nama penuhnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 21, juga mendambakan impian perkahwinan yang cukup indah. Malah melihat kepada kegembiraannya berkongsi sisi peribadinya dengan pelakon dan pengacara Qi Razali yang bukan lagi rahsia, adik kepada Uqasha Senrose ini sudah memberikan bayangan dia sudah bersedia untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

Baginya soal usia atau lebih tepat berkahwin muda bukan satu isu yang perlu diperbesarkan. Usia hanya angka dan selebihnya berbalik kepada soal hati, kesediaan dan jodoh. Bintang Filem Meletop Anugerah Meletop ERA 2015 itu juga tidak mahu berkahwin atas desakan mahupun pengaruh sekeliling tetapi andai sudah ada jodoh bersama pasti tak ke mana. 

Pelakon drama Strawberi & Karipap musim kedua di Astro Ceria terbitan Global Station Sdn Bhd itu juga seperti gadis lain yang sejak kecil lagi sudah membayangkan tema perkahwinan seperti puteri jelita dalam kisah dongeng seperti Cinderella dan Puteri Salju. Melihat kisah sedemikian hati kecilnya juga mahukan momen yang sama terjadi sekali dalam hidupnya saat bergelar isteri kepada lelaki yang dicintai. 

"Oh... saya memang sukakan tema fantasi atau kisah dongeng. Saya yakin ramai gadis di luar sana juga berangan nak jadi macam puteri dalam kisah dongeng. Kadang-kadang ia terbawa dalam mimpi. Melihat semua itu, hati juga rasa takjub alangkah indahnya dapat berkahwin macam dalam kisah dongeng itu. Sesekali, apa salahnya berangan jadi puteri," selorohnya pada awal pertemuan dengan BH Online baru-baru ini di sebuah restoran di Bangsar Village. 

Tapi seiring dengan peredaran masa dan peningkatan usia, Nelydia sangat realistik. Sebagai wanita, setiap kali melihat majlis kahwin, hati dan nalurinya juga turut terbuai dan terusik. 

"Perkahwinan itu ia diharap akan terjadi sekali seumur hidup. Kahwin bukan perkara main-main. Kita nak kahwin buat kali pertama dan terakhir serta bahagia sampai syurga. Insya-Allah. Saya rasa momen majlis kahwin itu sangat indah. Ia penyatuan dua hati yang menjadi lambang cinta yang dibina. Jadi masa majlis kahwin itu, saya dapat melihat cinta. Ia satu perasaan yang cukup teruja. 

"Selain tema kisah fantasi dan dongeng, saya juga mendambakan majlis kahwin di tepi pantai atau dalam taman. Tapi dengan keadaan cuaca yang tak boleh diduga dan tak menentu, bimbang pula nak ambil risiko. Kalau satu daripada tema yang saya dambakan ini jadi kenyataan, semestinya saya gembira bukan kepalang. 

"Selain itu, saya juga suka majlis kahwin yang menggunakan warna bumi atau pastel. Cukuplah ia ringkas, dihadiri orang yang kita sayang dan dekat di hati. Saya kalau boleh nak majlis kahwin yang cukup membuatkan mereka yang datang rasa dihargai dan sekali gus buat ia diingati sampai bila-bila," kata pemenang Hero & Heroin Pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur di samping Sharnaaz Ahmad itu menerusi drama Setitis Kasih Dharmia itu. 

Sebelum ini pernah hangat cerita membabitkan dirinya dan Qi yang akan bertunang. Qi dikatakan akan menghantar rombongan meminang. Bagaimanapun hingga saat ini perkara itu belum lagi terjadi. Bagi Nelydia, di pihak perempuan, dia tidak mahu kenyataannya seperti perigi mencari timba pula. Dia mengambil pendekatan berdiam diri. 

"Saya selesa tak banyak bercakap ketika itu. Kita ini perempuan, kenalah berlapik bercakap. Seperti saya katakan sebelum ini, sebaiknya Qi yang bertindak dan memulakan. Bimbang juga kalau saya keluarkan kenyataan, apa yang diharap jadi sebaliknya. Biarlah betul-betul perkara itu sah, baharu saya akan kongsi perkara itu. 

"Tapi kalau ditanya bila lagi nak makan 'nasi minyak' (kahwin), semestinya saya nak ia terjadi dalam masa terdekat. Semestinya kalau ada berita baik, saya akan umum. Di usia sekarang, sejujurnya saya ada sedikit keyakinan untuk memikul tanggung jawab sebagai isteri," katanya.

Biar sering diasak dengan persoalan kahwin, Nelydia tidak melihat ia sebagai satu tekanan buat dirinya. 

"Orang bertanya itu ia jadi seperti doa. Tapi seperti saya katakan tadi, soal nak kahwin ini tak akan terjadi dengan tekanan sebegini. Tapi biar ia jadi semula jadi dan semestinya atas izin Tuhan," katanya.

Mengenai Qi, hubungan mereka masih utuh seperti biasa. Qi disifatkan Nelydia sebagai seorang lelaki yang sangat memahami dan penyabar. 

"Sebab sudah berkawan lama, saya juga mengharapkan penamat yang indah dan baik-baik sahaja. Andai kata tiada jodoh antara kami sekalipun, saya tak mahu bermusuh dengannya. Saya percaya kepada jodoh yang sudah tertulis. Semua ini qada dan qadarNya," katanya.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment