Friday 17 July 2015

Cerita raya Najib Razak

Gambar hiasan.

SEBUT tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri, sudah tentu ia tidak lengkap tanpa cerita-cerita zaman kanak-kanak yang pelbagai ragam dan paling meriah yang sudah lama ditinggalkan seiring beredarnya waktu.

Kira-kira 20 tahun lalu, kemeriahan hari raya dihiasi dengan lampu tujuh likur keliling rumah, kanak-kanak bermain bunga api serta keriuhan apabila semua sanak saudara berkumpul pada Ramadan terakhir di kampung untuk memasak juadah raya, mengemas dan menghias rumah.

Sebagai pemimpin kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak terkecuali daripada menanti kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri setiap tahun.

Ketika kanak-kanak, beliau juga tidak terlepas menikmati sambutan hari raya dengan bunga api dan mercun yang seolah-olah sudah pun sinonim dengan musim-musim perayaan di negara ini.

“Dulu masa saya kanak-kanak, sambutan agak lebih kecil...lebih sederhana. Yang kami nanti sangat malam tujuh likur, main bunga api dan dulu boleh main mercun.

“Sebahagian kanak-kanak duit raya itulah yang sangat dinantikan,” katanya kepada Sinar Online.

Namun, beliau akui beredarnya waktu, tanggungjawabnya kini lebih besar dan perlu menyantuni ribuan tetamu yang mengunjungi kediaman rasminya, Seri Perdana, Putrajaya.

“Tapi hari ini tentu sekali berbeza. Saya perlu jadi hos untuk ribuan rakyat Malaysia yang membuat kunjungan ke Seri Perdana.

“Ini menunjukkan bahawa betapa besarnya perubahan itu yang telah berlaku pada negara Malaysia berbanding masa-masa dahulu. Malaysia yang lebih maju, lebih makmur dan bilangan penduduk yang kian bertambah,” katanya.

Ketika ditanya tentang hidangan hari raya yang dinantinya setiap lebaran, Najib berkata lemang dan rendang antara menu wajibnya setiap hari raya.

“Secara tradisional, saya jarang makan lemang. Jadi kalau ada lemang dan rendang boleh dikatakan wajib.

“Tapi selain daripada itu macam-macam ada. Asam laksa, sate dan macam-macam lagi,” katanya.

Beliau adalah anak lelaki sulung kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment