KUALA LUMPUR: Sekitar tahun 2011, rumah tangga pelakon yang kini bergelar peragawati, Zahnita Wilson pernah dikatakan bergolak dan beberapa tahun kemudian kes rumah tangga mereka diheret ke mahkamah.
Beberapa laporan pernah menyebut Zahnita pernah menuntut fasakh dan memfailkan saman kepada suaminya.
Kesempatan bertemunya ketika menjayakan Festival Tari Malaysia (FESTARI) 2015 baru-baru ini turut diajukan mengenai status sebenar dirinya yang dikatakan sudah pernah bergelar janda.
Pertanyaan bagaimana kehidupan peribadinya sekarang dan dijawab cukup sibuk dengan kerjaya dan rumah tangga benar-benar membuat penulis sedikit terkejut.
Malah kala Zahnita menyebut perkataan suaminya kala perbualan rancak berlaku turut menimbulkan tanda tanya di hati.
Ironinya, 3 Jun lalu genap genap 10 tahun perkahwinan yang dibina Zahnita bersama Abdul Zackery Ghouse. Dua anak mereka iaitu Zahrafeena (8) dan Zasharayna (2 tahun lebih) juga sedang membesar.
Jadi apa sebenarnya? Kepada BH Online, Zahnita berkongsi rahsia hatinya yang selama ini menimbulkan persoalan.
"Hidup ini biasalah pasti ada pasang surutnya. Saya juga tak sempurna. Pernah nekad seperti mahu hidup sendirian dan boleh berdikari, tetapi suami saya tidak mahu lepaskan saya.
"Perasaan sayang itu masih ada antara kami dan lebih penting kami berdua ada zuriat yang masih memerlukan kasih sayang serta cinta.
"Malah ketika berlaku kehambaran dalam rumah tangga kami, saya sendiri keliru dengan apa yang patut dibuat dan sebaliknya. Saya sendiri tak boleh bersikap pentingkan diri sendiri dan saya tak boleh sewenang-wenangnya menghalang cinta bapa kepada anak itu daripada terus disekat. Kami memang bergelut beberapa tahun lalu tapi Alhamdulillah semuanya kian pulih.
"Kami masih bersama. Benar tak semudah itu untuk melepaskan kenangan bersama dan membina kehidupan baharu. Apa yang terjadi ada hikmah di sebaliknya. Ia menguji kesetiaan dan cinta kita kepada insan tersayang. Hidup ini memang mencabar dan ia memang bukan mudah.
"Apa yang berlaku umpama episod hitam yang mahu pantas dihakis," katanya yang kini turut bergelar pensyarah bidang fesyen di Management & Science University di Shah Alam
Pujian harus dipuji kepada lima selebriti ini kerana biarpun berlatih kurang daripada lima jam menerusi dua kelas bimbingan tarian yang diadakan pada 2 dan 5 Jun lalu di ibu pejabat JKKN di Menara TH Perdana (berdekatan Maju Junction), mereka memberikan komitmen penuh semasa latihan selain tidak menimbulkan masalah kepada penganjur. Pendek kata, kelima selebriti ini memang tidak banyak songeh.
Supermodel yang bermula sebagai pelakon, Zahnita berkata dia tidak menyangka dia mampu menunaikan amanah yang diberikan sebaik mungkin. Dia yang pernah membintangi filem Kuliah Cinta dan Gila Gila Pengantin Remaja itu memilih tarian Asyik dan sebagai persediaan awal sudah mula melihat contoh gerak tarian berkenaan di laman YouTube.
"Oh ya, saya akhirnya melakukannya. Saya boleh menari. Tapi tidaklah seperti penari profesional. Jelas biarpun terbabit untuk acara ini dalam masa yang suntuk, saya dapat simpulkan bahawa persembahan seni ini bukanlah semudah yang disangka. Persembahan seni seperti tarian ini memerlukan dedikasi, keazaman, disiplin, kerja keras, konsentrasi, koordinasi selain bakat semula jadi yang terus digilap.
"Terima kasih kepada JKKN atas peluang keemasan seumur hidup ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Vanidah, Maya, Shiha dan Adeline atas bimbingan, tunjuk ajar serta sokongan semasa kita terbabit di FESTARI ini. Sokongan suami dan dua anak saya yang hadir menyaksikan persembahan saya menjadi pembakar semangat. Tahniah juga kepada pemenang yang dipilih," katanya yang sudah lapan tahun menjadi model syarikat tekstil Jakel.
- Sumber: BH Online
No comments:
Post a Comment