Tuesday 16 June 2015

Penerbit Indie: 'Jangan terasalah, itu cuma perbincangan ilmiah' - KP BTN

RAJA ARIF: 'Jangan terasalah, itu cuma perbincangan ilmiah.' -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Mana-mana penerbit buku 'Indie' serta pemain di dalam industri itu diminta tidak terasa dengan apa sahaja bahan ilmiah dalaman termasuk slaid yang digunakan semasa bengkel serta perbincangan Biro Tatanegara (BTN).

Pengarah BTN, Datuk Raja Arif Raja Ali berkata, bahan bengkel itu juga tidak pernah diterbitkan dan kebocoran maklumat itu disifatkan tidak harus berlaku.

"Saya tidak tahu bagaimana bahan itu boleh tersebar dan bocor di khalayak awam. Ia hanya modul perbincangan dan tidak memberi maksud kepada unsur negatif 'indie' seperti yang ditakrif mana-mana pihak.

"Kita juga biasa membuat program dengan kumpulan 'indie'. Saya akan jelaskan dengan mereka nanti, kita bukan bermusuh dan tidak mahu bermusuh dengan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

“Saya tidak tahu bagaimana bahan itu boleh tersebar dan bocor di khalayak awam. Ia hanya modul perbincangan dan tidak memberi maksud kepada unsur negatif 'indie' seperti yang ditakrif mana-mana pihak ”- Raja Arif

Raja Arif mengulas kenyataan penerbit buku bebas, Aloy Paradoks yang menyifatkan laporan sebuah persembahan slaid di laman BTN tentang 'Gerakan Indie di Malaysia' sebagai kelakar.

Aloy yang juga pemilik SeLUT Press berkata, dia tidak mengambil serius tentang perkara itu dan merasakan ia tidak mendatangkan apa-apa kesan kepadanya.

Indie merupakan singkatan untuk perkataan Inggeris 'independent' yang bermaksud bebas selain merujuk kepada hasil karya seni di luar daripada arus perdana yang komersial

Sebelum ini, sebuah portal mendedahkan laporan di laman BTN yang menggesa kerajaan mengharamkan buku terbitan penerbit Indie kerana dikatakan memberi kesan negatif kepada kerajaan.

Lapor portal berkenaan, dokumen yang disediakan oleh bahagian penyelidikan dan penerbitan BTN itu antara lainnya mendakwa, bahan penerbitan berkenaan bersifat 'lucah' dan 'bebas'.

Dalam pada itu kata Raja Arif, mana-mana penerbit berkenaan juga diminta tidak terasa dengan laporan berkenaan.

"Kerana itu saya minta mereka tidak terasa dengan isu ini. Semua harus jelas, ia hanya dijadikan subjek perbincangan ilmiah dalaman dan saya hairan kerana ia disebar kepada umum," ujarnya.

Beberapa pemilik penerbit buku lain turut dinamakan BTN termasuk Sinaganaga (Sindiket Sol-Jah) yang dinamakan sebagai 'ketua', Aisa Linglung (Lejen Press), Amir Muhammad (Buku Fixi) dan Mutalib Uthman (DuBook Press).

Penerbitan lain yang juga termasuk dalam senarai BTN ialah Studio Anai-Anai, Poket Press dan Terfaktab.

Selain itu, Buku Jalanan, Geng Jurnal, Rabak, Propaganda, Indie 57, Baskerz, Frinjan dan Samjal telah dinamakan sebagai kumpulan-kumpulan indie yang menjalankan aktiviti seperti pembacaan puisi, pembacaan buku jalanan, jualan buku, jualan lukisan, pameran, diskusi mini dan penerbitan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment