Kejayaan negara di Sukan SEA ke-28 mengumpul 60 pingat emas sehingga Isnin mengatasi pencapaian di Sukan SEA Myanmar dua tahun lalu.
SINGAPURA: Kejayaan Kontinjen negara di temasya Sukan SEA ke-28 mengumpul 60 pingat emas sehingga hari ini bukan saja mengatasi pencapaian di Sukan SEA Myanmar pada dua tahun lepas, malah menjangkau sasaran kerja 48 pingat emas ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Pencapaian tersebut turut melepasi sasaran peribadi 50 pingat emas yang diletakkan oleh ketua kontinjen negara (CDM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.
Pingat emas ke-60 negara disumbangkan oleh pasukan bola keranjang wanita negara selepas menewaskan Vietnam 82-50 dalam perlawanan akhir peringkat liga yang berlangsung di OCBC Arena pada Isnin.
Sehingga kini Malaysia menduduki tempat keempat selepas mengumpul sebanyak 179 pingat iaitu 60 pingat emas, 53 perak dan 66 gangsa.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kejayaan tersebut sekali gus membuktikan bahawa atlet negara berjaya mencapai sasaran yang telah diletakkan oleh MSN walaupun perkara tersebut tidak dihebohkan kepada umum sebelum ini.
"Kita meletakkan sasaran sebanyak 56 peratus daripada 329 acara yang disertai iaitu secara keseluruhan 184 pingat," katanya kepada pemberita semalam.
Katanya sasaran mengikut pecahan pingat ialah 48 untuk pingat emas, 44 pingat perak dan 92 pingat gangsa.
Menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubungan jumlah acara yang diambil oleh kontinjen negara kali ini, Ahmad Shapawi berkata MSN pada mulanya membuat pendaftaran 335 acara namun terpaksa menggugurkan enam acara pada saat akhir.
Beliau berkata MSN terpaksa menggugurkan dua acara renang, tiga acara pelayaran dan satu dari Olahraga atas sebab-sebab tertentu.
Ahmad Shapawi berkata MSN mengubah pendekatan membuat sasaran berbanding sebelum ini bagi memperhalusi pencapaian setiap atlet yang bertanding tidak kira sama ada atlet pelapis mahupun atlet elit.
"Jika dahulu kita menggunakan pendekatan kutipan pingat emas dalam meletakan sasaran, tapi kali ini MSN mengguna pedekatan purata dalam membuat sasaran," katanya.
Beliau berkata sasaran kerja MSN kali ini ditetapkan berdasarkan penilaian secara keseluruhan atlet negara sejak Sukan SEA Manila, Filipina pada 2005.
"Dengan penilaian secara purata, kita dapat memantau pencapaian atlet pelapis negara yang menjadikan Sukan SEA sebagai platform kerjaya mereka dan tidak lagi perlu bergantung semata-mata kepada Sukan Malaysia (SUKMA) sebagai platform awal dalam membina kerjaya sukan," katanya.
Ahmad Shapawi berkata penentuan kadar purata sasaran bagi Sukan SEA dan kejohanan sukan lain akan berubah dari semasa ke semasa mengikut prestasi semasa atlet negara agar sasaran lebih realistik dapat dilakukan pada masa hadapan.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment