Teori 'nosedive': Berdasarkan simulasi dinamik cecair dariapada pasukan penyelidik Texas A&M University, junaman muncang pesawat secara menegak hanya mengakibatkan kadar rintangan paling minimum. - Grafik Astro AWANI/Nasrul Shazli
KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 terus merancakkan pelbagai teori dan konspirasi yang tidak pernah suram.
Kali ini sepasukan pakar matematik daripada Texas A&M University mendakwa pesawat Boeing 777 hilang tanpa kesan adalah kerana ia terjunam di Lautan Hindi pada sudut 90 darjah.
Teori junaman sempurna yang dinamakan sebagai 'perfect nosedive' itu mengakibatkan pesawat yang membawa 239 penumpang itu jatuh dengan keadaan tidak terjejas sekali pun.
Teori ini juga menjelaskan mengapa tiada serpihan atau sebarang limpahan minyak dijumpai sejak pesawat itu hilang pada Mac tahun lalu, kata pasukan matematik ini.
Dalam satu laporan media Australia, Sydney Morning Herald pada Khamis, ahli matematik Texas A&M University di Qatar, Goong Chen berkata bahan bukti bagi menyokong teori “vertical nosedive” (junaman muncung) menegak adalah sangat kukuh.
Berdasarkan simulasi dinamik cecair pasukan penyelidik ini, satu junaman laut secara menegak hanya mengakibatkan kadar rintangan paling minimum.
Chen berkata, impak junaman itu sekurang-kurangnya hanya mengakibatkan sayap pesawat itu tercabut namun fiuslajnya masih boleh kekal utuh.
Menurutnya lagi, semua serpihan yang berat akan tenggelam kemudian ke bahagian dasar lautan.
"Saat kebenaran mengenai MH370 hanya terkubur menjadi misteri sehinggalah pada satu hari kotak hitam ini akhirnya dijumpai dan dinyahkod.
"Namun kini pihak forensik percaya MH370 terjunam ke dalam laut dalam keadaan junam muncung," kata Chen yang mengetuai simulasi forensik komputer teori itu.
Penyelidikan beliau dan pasukannya telah diterbitkan dalam majalah matematik Notices of the American Mathematical Society untuk isu April.
MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac 2014.
Sementara itu, dalam satu laporan media Australia, News.com.au pada Khamis, teori ini mula dibincangkan apabila presiden syarikat penerbangan Emirates, Tim Clark berkata kerajaan Australia hanya menunggu masa untuk menamatkan pencarian pesawat MH370 itu.
"Sekarang ini persoalan yang tinggal hanyalah bila pencarian MH370 akan ditamatkan.
"Adakah kita mempunyai penyelesaian? Adakah kita mempunyai penjelasan? Sebab? Punca? Tiada.
"Pencarian ini menyebabkan ia menjadi 'goose chase' (tiada kesudahan), dan insiden ini hanya akan mengulangi sejarah kehilangan Amelia Earhart," katanya kepada Fairfax dalam satu perjumpaan tahunan Pertubuhan Pengakutan Udara Antarabangsa (IATA) di Miami baru-baru ini.
Juruterbang Amelia hilang pada tahun 1937 apabila beliau melakukan penerbangan solo ke seluruh pelosok dunia. Sehingga ini, bangkai pesawat beliau masih belum dijumpai.
Ketika pakar penerbangan masih lagi mempunyai harapan sekiranya MH370 akan dijumpai, para penyelidik masih mencari punca apa yang berlaku kepada pesawat itu.
MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.
Misi pencarian yang disertai pelbagai negara dikerah, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman sebelum pasukan mencari beralih tumpuan ke kawasan perairan di barat Australia di selatan Lautan Hindi.
- Sumber: Agensi
No comments:
Post a Comment