Friday 12 June 2015

'Resepi Jepun' Dollah tidak menjadi

Pemain negara, Joseph Kalang Tie dihalang tiga pemain Timor Leste dalam percubaannya menjaringkan gol pada perlawanan pertama Kumpulan A pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Bukit Jalil malam tadi.

KUALA LUMPUR: Resepi istimewa Jepun yang dipelajari oleh ketua jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh ternyata tidak meningkatkan mutu persembahan skuad kebangsaan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 malam tadi.

Dollah ternyata kecewa dengan persembahan anak buahnya yang hanya mampu melakarkan keputusan 1-1 dengan Timor Leste pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Lebih memalukan apabila pasukan lawan hanya membuat persediaan selama tiga hari sahaja berikutan ada sebilangan pemain beraksi pada Sukan SEA ke-28 Singapura manakala sedang bercuti daripada aksi di liga luar negara.

"Secara keseluruhannya, saya kecewa dengan perlawanan tadi kerana kita tidak ambil peluang untuk mencipta lebih banyak jaringan daripada pasukan yang tidak begitu tersedia.

"Kita ada banyak peluang tetapi disia-siakan, kesilapan pada minit terakhir memberi ruang kepada gol penyamaan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pengendali berusia 51 tahun itu turut mengakui bahawa kebanyakan pemain skuad 'Harimau Malaya' dilihat keletihan serta hanya memberikan persembahan antara 30 hingga 40 peratus daripada apa yang mereka tunjukkan pada sesi latihan.

Sementara itu, pengendali Timor Leste, Fabio Joaquim berkata persediaan selama tiga hari tidak menghalang pasukan itu daripada menunjukkan prestasi yang baik kerana mereka telah bermain secara pasukan dalam pusingan pertama aksi kelayakan menentang Mongolia pada Mac lalu.

"Kami terlepas beberapa peluang jaringan dan pemain keletihan. Bagaimanapun, keputusan ini adil bagi kami," katanya.

Beliau berkata ketiadaan liga tempatan serta stadium sendiri juga tidak menghalang semangat negara kecil itu untuk terus melakar sejarah dalam kempen kelayakan ini, walaupun beraksi buat julung kalinya.

Malaysia seterusnya akan bertemu dengan Palestin pada 16 Jun dalam aksi kedua Kumpulan A, sebelum menjalani cabaran getir menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Sept dan Arab Saudi pada 8 Sept ini.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment