Friday 12 June 2015

Ahli perniagaan cedera parah

SABAK BERNAM – Seorang ahli perniagaan cedera parah di bahagian kepala selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah motosikal lain di Jalan Lama Kuala Selangor, berdekatan Simpang Tiga hadapan sebuah restoran, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Yong Mow Fong, 49, yang menunggang motosikal jenis Yamaha dalam perjalanan pulang dari Sungai Besar menuju ke rumahnya di Taman Suria, Sungai Besar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Mohamad Khalid Ishak berkata, kejadian berlaku ketika mangsa meneruskan perjalanan, sebelum sebuah motosikal tiba-tiba masuk ke simpang berkenaan.

“Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh motosikal terbabit hingga menyebabkannya terjatuh atas jalan dan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala,” katanya.

Mohamad Khalid berkata, akibat pertembungan itu, motosikal mangsa mengalami kerosakan di bahagian depan dan tengah; kerosakan pemijak kaki dan tayar hadapan serta gear motosikal bengkok.

“Seorang lagi mangsa masih belum dikenalpasti identiti kerana masih belum membuat laporan polis hanya mengalami kerosakan kecil pada bahagian tayar hadapan,” katanya.

Beliau memberitahu, orang ramai yang melihat mangsa dalam keadaan parah terus membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, bagaimanapun mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

Katanya, siasatan kes kemalangan itu dijalankan Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Rahim Saadin mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment