Friday 12 June 2015

Kes fitnah PM: Saya rakam ceramah sehingga selesai

Mohammad Nizar Jamaluddin

IPOH - "Saya merakam ceramah bermula daripada Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said berucap sehingga selesai," kata saksi ketiga pada hari kedua perbicaraan kes bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam kes fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tiga tahun lepas.

Koperal Detektif Shokri Nayan yang bertugas sebagai juruvideo di bahagian Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bahawa beliau merakam video itu menggunakan handycam jenis Canon HR10 yang dibekalkan pasukan Polis Diraja Malaysia.

"Sebelum pergi ke tempat kejadian, saya akan memastikan alat perakam dalam keadaan baik, bateri dan DVD-R (DVD Boleh Rekod) yang cukup. Saya tiba di sana jam 9.30 malam dan nampak ada khemah di kiri dan kanan, saya lihat orang ramai lebih kurang 50 orang.

"...saya mula rakam ceramah pada jam 10.21 malam," katanya pada hari kedua perbicaraan kes Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar, 58, yang beralamat di Sungai Rokam di sini didakwa memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012. 

Mohammad Nizar, yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik Najib.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 13 Januari lepas, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Mohammad Nizar daripada pertuduhan memfitnah Najib selepas membenarkan bantahan awal pihak pembelaan yang diketuai Mohd Yusof berhubung isu pengadu dalam kes itu.

Hakim Rihaida Rafie memutuskan bahawa aduan yang dibuat dalam kes itu cacat dan tidak boleh diterima kerana terdapat kekeliruan siapa sebenarnya yang membuat aduan. 

Pada prosiding hari ini, Syukri berkata seramai empat penceramah yang terlibat pada malam itu. 

"Setahu saya empat orang, yang saya kenal YB (Yang Berhormat) Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng), Ustaz Radzi Zainon (Adun Sungai Rapat), YB Datuk Seri Nizar dan Datuk A.Samad Said," katanya.

Syukri juga memaklumkan, beliau berjumpa dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin setelah selesai memproses DVD-R dan menontonnya sehingga jam 2.10 pagi.

"ASP Zul meminta saya membuat lima salinan dengan setiap satu salinan mengandungi dua keping DVD-R pada esok hari. Saya menyerahkan semula salinan yang telah dibuat kepada Tuan Zul, di pejabatnya, di IPD, Ipoh," katanya.

Beliau turut mengecam ASP Zulkarnain yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Turus Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, ketika diminta untuk berbuat demikian oleh Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab Perbicaraan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin bersambung pada 19 Ogos. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment