Sunday, 28 June 2015

Pemandu teruja terima 'gaji' awal

Mohamad Faizal menunjukkan tunai RM1,000 yang dimenangi.

KANGAR - Belum pun sempat menerima gaji pertama setelah dilantik menjadi pemandu di sebuah agensi kerajaan bulan ini, Mohamad Faizal Mat Jusoh, 35, tidak menyangka akan menerima imbuhan lebih awal setelah terpilih memenangi hadiah tunai peraduan PR1M siri 9.6.2015.

Menurut Faizal, dia rasa sangat bertuah kerana dipilih memenangi peraduan itu semasa bulan puasa sekali gus wang itu sangat bernilai untuk digunakan bagi menyambut ketibaan Syawal.

“Setiap hari saya tidak pernah putus mengisi borang peraduan ini sehinggalah pada April lalu saya terpaksa berhenti mengisi borang kerana sibuk dengan kursus dan peperiksaan kerja saya sebelum ini yang juga sebagai pemandu di sebuah universiti awam.

“Selepas itu pada Mei dan Jun, saya sambung semula mengisi borang PR1M setiap hari sebelum mendapat panggilan telefon pada Isnin minggu lalu memberitahu saya menjadi pemenang PR1M,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Masjid, Padang Pauh, di sini.

Faizal memberitahu, selain menanggung isteri serta dua anak berusia 9 dan 3 tahun, dia juga menjaga ayahnya Mat Jusoh Itam, 76, yang tinggal bersama mereka.

Ujarnya, wang RM1,000 akan dibelanja secara berhemah selepas mereka sudah biasa hidup secara sederhana. 

“Tidak sia-sia saya menjadi pembaca Sinar Harian, peraduan ini ibarat hadiah kepada pembaca akhbar ini kerana soalan yang ditanya dalam peraduan PR1M sangat mudah.

“Saya hanya perlukan 10 minit untuk mencari jawapan dalam surat khabar, setelah menulis jawapan saya akan pos hari itu juga walaupun tidak terlalu berharap untuk menang,” tambahnya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment