Sunday, 28 June 2015

20 ejen dalang PATI masuk Malaysia

PRESIDEN Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Rizuan Abdullah.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 ejen dipercayai menjadi dalang kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini sehingga menyebabkan kebanjiran warga asing yang luar biasa. 

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Rizuan Abdullah, ketika mendedahkan perkara itu, menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras kegiatan terbabit. 

Beliau berkata, IKHLAS mempunyai bukti berhubung pembabitan ejen yang dipercayai menerima rasuah, selain helah menjadikan beberapa sektor pekerjaan sebagai platform mengabui mata pihak penguat kuasa. 

Katanya, ejen berkenaan dipercayai menempatkan pendatang asing tanpa izin di sektor perladangan yang tidak wujud. 

"Geran digunakan adalah palsu manakala ladang yang dilaporkan, tidak wujud. Helah itu digunakan untuk membawa pendatang asing tanpa izin sebelum diniagakan dengan kiraan purata seorang RM300, sekali gus menutup peluang peniaga tempatan mencari rezeki di negara sendiri.

"Identiti bangsa Melayu akan hilang jika pendatang asing tanpa izin terus membanjiri negara ini," katanya ketika dihubungi BH, semalam. 

Rizuan berkata, ejen sindiket itu dipercayai menjadikan Kuala Lumpur sebagai pangkalan menjalankan aktiviti haram.

Katanya, kehadiran pendatang asing tanpa izin turut menyumbang kepada pelbagai penyakit yang dibawa dari negara asal. 

Kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh ke negara ini seperti dilaporkan, tegasnya, dianggap terlampau besar. 

"Kerajaan harus tegas dalam mengekang kemasukan warga asing, baik secara sah mahu pun haram kerana kami membantah kemasukan warga Bangladesh dalam jumlah itu," katanya. 

"IKHLAS turut menerima beberapa aduan daripada peniaga yang tidak menyenangi kehadiran PATI kerana terpaksa bersaing dalam bidang perniagaan," katanya.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment