Sunday, 28 June 2015

Berbuka sedikit, makan lebih ketika sahur - Soo Wincci

SOO Wincci.

KUALA LUMPUR: Bagi wanita yang bukan Islam seperti Soo Wincci, dia mengakui sejak empat tahun berpuasa apa sahaja yang diniatkan pada bulan Ramadan sering memberikan keajaiban buat dirinya. 

Pendek kata, setiap apa yang dirancang untuk kerjaya seni sepanjang tahun pada setiap kali Ramadan menjelma pastinya memberikan petunjuk yang membuatkan dia memanjatkan kesyukuran. 

"Rezeki saya kian murah. Bagi orang Islam sendiri mereka juga sentiasa berebut untuk melipatgandakan pahala dan saya sendiri sentiasa berdoa sekali gus menanam pelbagai niat. Setiap kali saya minta sesuatu pada bulan mulia ini, ada sahaja benda ajaib yang akan menyusul. Niat saya nak lebarkan sayap ke Hollywood juga seakan memberikan penanda pasti. 

"Tapi saya tak mahu terlalu terburu-buru atau menggembar-gemburkan sesuatu yang masih dalam perancangan. Tapi pastinya impian ke arah itu seakan memberikan isyarat pasti. Akan datang beberapa bulan lagi, saya mungkin boleh kongsi apa yang diharapkan ini. Niat puasa itu penting dan saya sendiri tak lepas berniat sepanjang malam mengharapkan keindahan buat hidup dan kerjaya ini. Termasuklah niat mendapat jodoh yang baik," katanya kepada BH Online dalam pertemuan pada pelancaran telefon pintar baharu jenama Vivo X5Pro di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, Khamis lalu. 

Ketika ini Wincci sedang melunaskan baki penggambaran drama Cina berjudul The Injustice Stranger dan memegang watak utama. Sekalipun penat dengan rutin penggambaran itu yang berpanjangan hingga ke Ramadan ini, Wincci tidak menjadikan itu alasan untuk tidak berpuasa. Wincci perlu melangsaikan 600 babak membabitkan dirinya untuk dirangkumkan sebagai 20 episod. 

"Setiap jam 5 atau 6 pagi, saya sudah bergerak ke lokasi penggambaran. Mujur ia sekitar KL. Memang mencabar kerana saya berpuasa tetapi perlu menjalani penggambaran drama ini. Bayangkan sehari saya perlu selesaikan dalam anggaran 15 ke 20 babak. Tapi untuk terus kekal bertenaga saya perlu memasang strategi. Saya lebihkan makan ketika bersahur dan kurangkan makan ketika berbuka puasa. 

"Mulanya krew drama ini sendiri tak faham kenapa saya perlu berpuasa sedangkan saya bukannya wanita Muslim. Tapi selepas saya jelaskan mereka mula faham. Malah ada seorang pelakon yang terbabit dalam drama ini pun nak ikut berpuasa. Pelakon itu pelik kenapa saya masih nampak bertenaga sepanjang hari biarpun berpuasa. Selalu mereka ingat kalau berpuasa pasti letih. Tapi saya buktikan sebaliknya," katanya. 

Menceritakan lanjut mengenai strategi puasa yang diaturkan, Wincci tidak melihat bulan puasa ini sebagai ruang untuk makan apa sahaja tanpa membendung nafsu diri. 

"Memang saya tak sesuka hati makan. Tambah pula jadual seni saya padat. Kalau berbuka saya hanya makan sekitar 300 kalori sahaja. Saya makan kurma beberapa biji, sayur-sayuran, telur. Saya lebihkan protein dan kurangkan karbohidrat. Untuk sahur pula memang saya akan makan banyak kerana perlu tenaga untuk seharian. 

"Sahur selalunya saya bangun makan jam 4.30 pagi. Saya makan dalam 600 ke 700 kalori. Seperti roti, telur, avokado selain menggunakan minyak kelapa. Selepas waktu sahur saya tak terus tidur dan terus bersiap ke lokasi penggambaran drama ini. Syukur berat saya juga semakin berkurangan. Sudah kurang tiga keempat kilo. Peratusan lemak juga menurun," katanya. 

Ditanya mengenai erti puasa baginya, Wincci melihat bulan ini sebagai ruang untuk melatih diri dari emosi dan fizikal. 

"Cabaran memang ada. Jadi kita kena sabar. Macam saya kena berlakon di bulan puasa, memang menguji kesabaran. Tapi kena tahan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Wincci juga akan sibuk dengan perancangan konsertnya di Dewan Plenari, KLCC Oktober depan. Wincci Mei lalu baharu saja menang tiga anugerah di acara Malaysia PWH (Persatuan Wartawan Hiburan) Music Award yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang. 

Anugerah berkenaan boleh diumpamakan seperti Anugerah Juara Lagu yang memartabatkan karyawan muzik Cina tempatan di negara kita.

Anugerah yang dimenangi Wincci ialah Top 10 Best Local Songs menerusi lagu Ill Be Alright dan Endless Happiness.Endless Happiness turut menang kategori Susunan Muzik Terbaik. Selain itu, Wincci turut membawa pulang trofi Media Choice Award.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment