Hanita (kiri) ambil upah mencucuk sate bagi mencari pendapatan menampung perbelanjaan keluarga setelah kematian suami.
KUANTAN - Mencucuk sejumlah 1,000 batang sate sehari belum mencukupi untuk perbelanjaan tujuh beranak, namun itu ia antara usaha ibu tunggal, Hanita Mohamad Bon, 37, mencari kewangan sempena Ramadan.
Upah yang diterima walaupun hanya RM18 sehari dianggap rezeki yang boleh menampung kewangan untuk membeli barangan keperluan keluarganya.
Sate yang dihantar ke rumahnya di Kampung Pantai Beserah, dicucuk bersama seorang rakan yang membantu meringankan beban kerjanya.
Hanita yang kematian suami sejak dua tahun lalu mengambil upah mencucuk sate dari dua syarikat penjual sate sejak lebih setahun lalu bagi menampung pendapatan arwah suami yang hanya bekerja sebagai nelayan.
“Ketika arwah masih hidup, akak hanya ambil upah kira-kira 500 cucuk je... tapi sekarang ni perlu menambah pendapatan untuk perbelanjaan puasa dan hari raya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Ibu enam anak berusia antara lima hingga 19 tahun ini mengakui dirinya belum membuat sebarang persiapan menyambut Aidilfitri kerana perbelanjaan yang tidak mencukupi.
"Belum buat persediaan lagi. Pendapatan bulanan akak sekitar hanya RM700 saja... Tapi, kini Alhamdulillah sebab anak yang sulung ada bantu. Dia pun baru je mula kerja kat pasar raya di bandar ni, jadi jurujual.
"Akak ada juga terfikir macam mana nak sediakan kelengkapan hari raya untuk anak-anak sebab pendapatan tak mencukupi,” katanya.
Hanita memberitahu, kehidupannya sukar selepas kematian suami akibat sakit. Namun, dia tetap berusaha memastikan anak-anak mendapat keperluan sepatutnya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tinggal di rumah peninggalan suami dan anak sulungnya dapat menggunakan kereta terpakai yang dibeli arwah suaminya untuk berulang-alik bekerja.
Dia turut mendapat bantuan mesin jahit melalui program e-kasih dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk persekolahan anak-anaknya sebanyak RM450 sebulan.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment