Monday 11 May 2015

Susur keluar LPT II jalan maut

Info grafik menunjukkan lokasi susur keluar L PT II di Jalan Kubang Jela, Manir yang menjadi laluan maut pengguna. 


KUALA TERENGGANU – Hampir setahun penduduk kampung berdiam diri dengan apa yang berlaku sambil berharap ada pihak yang bertindak mengatasi masalah kemalangan yang kerap berlaku di kawasan pembinaan susur keluar Lebuhraya Pantai Timur II (LPT II), di Jalan Kubang Jela, Manir, di sini.

Namun bagaikan menunggu buah yang tidak gugur, jalan penyelesaian semakin kabur dan kini mereka tampil kemuka rasa bimbang dan tidak puas hati kerana susur keluar itu bagaikan jalan maut.

Wakil penduduk, Jamalludin Nordin, 50, berkata, keadaan jalan berkenaan gelap gelita pada waktu malam berikutan tiada kemudahan lampu dan pemantul cahaya yang diletakkan di sepanjang jalan tidak lagi berfungsi.

“Ini bahayakan pengguna terutama orang luar kerana mereka akan keliru dan boleh menyebabkan kemalangan. Hampir seminggu sekali ada kemalangan di jalan ini.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera sama ada menjadikan jalan ini kepada dua hala atau meletakkan lebih banyak pemantul cahaya atau lampu amaran terutama di bawah jambatan LPT II ini supaya tidak mengelirukan pengguna jalan raya,” katanya ketika di temui di Jalan Kubang Jela, di sini.

Jamalludin yang juga Pengerusi JKKK Taman Desa Putra, bimbang perkara lebih buruk berlaku di kawasan itu sekiranya pihak berwajib tidak memikirkan alternatif bagi keselamatan orang ramai.

“Sekarang ini pula, banyak kon diletakkan menyebabkan jalan ini makin sesak.

“Kadang-kadang kenderaan dari arah Manir dan Batu Enam menggunakan jalan sama menyebabkan kenderaan mereka bertembung dan meningkatkan risiko kemalangan, sedangkan perkara ini boleh dielak sekiranya kon itu dialihkan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Jamalludin cadangkan pihak berkuasa mengalihkan kon dan buka dua lorong sahaja iaitu di persimpangan Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) dan di hadapan Masjid Al-Ikhlas, Banggol Tuan Muda.

“Jika kon itu dialihkan dan menambah pemantul cahaya risiko kemalangan di kawasan ini dapat dikurangkan.

“Kalau duduk di sini lebih kurang satu atau dua jam lagi, akan nampak sendiri pelbagai kesulitan dihadapi pengguna jalan raya di sini,” katanya.

Hasil tinjauan Sinar Harian ke lokasi selama hampir satu jam mendapati ramai pengguna jalan raya mengalami kesulitan dan keliru dengan keadaan jalan yang tidak terurus walaupun pada siang hari.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment